Memaparkan catatan dengan label KoleksiResipiMeen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KoleksiResipiMeen. Papar semua catatan

Selasa, 25 Oktober 2016

Resipi Chocolate Chip Muffin

Salam.

Tarikh 25-Oktober-2016.


Resipi Chocolate Chip Muffin

Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:

  • 125 gm tepung gandum - ayak dengan baking powder
  • 7 gm baking powder
  • 75 gm minyak masak
  • 75 gm susu segar
  • 75 gm gula caster
  • 1 biji telur B
  • 1/2 sudu teh vanila
  • Sedikit chocolate chips - tabur


Cara Penyediannya:

Kacau sebati minyak, susu, gula, telur dan vanilla.

Masukkan sedikit demi sedikit tepung dan kacau sebati dengan menggunakan spatula sehingga tidak bergentel.

Masukkan ke dalam paper cup sebanyak 3/4 penuh. Tabur chocolate chips di atasnya.

Bakar pada suhu 160C selama 30 minit atau sehingga masak.

Sedia untuk dihidang!








Manisnya senyum.

Jumaat, 16 September 2016

Resipi Spageti Bolognese

Salam.

Tarikh 17-September-2016.

Resipi Spageti Bolognese.





Manisnya senyum.

Selasa, 13 September 2016

Resipi Kek Coklat yang Lembap di dalam Mulut

Salam.

Tarikh 13-September-2016.

Bila layan resipi kek coklat.

Resipi ni sebenarnya Meen ambil daripada blog http://www.azlitamasammanis.com/. Setelah segala data-data di dalam tablet "canggih" Meen terpadam, termasuklah juga resipi turun temurun "kek Coklat" air tangan mak, Meen terpaksa mencari resipi yang mungkin boleh Meen gunakan kerana teringin benar untuk merasa Kek Coklat Lembap sendiri. Terima kasih kepada Puan Azlita kerana berkongsi resipi. 

Jom Meen kongsikan. 

Resipi Kek Coklat yang Lembap

Meen maklumkan dahulu, terdapat 4 kumpulan bahan dalam menyediakan Kek Coklat ini. 

Bahan-bahannya:
Bahan A
300 gm tepung gandum
100 gm serbuk koko
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh soda bikarbonat

Bahan B
3 biji telur (digunakan kuning dan putih)
400 gm gula kaster
1 sudu teh esen vanilla

Bahan C
250 ml susu cair (Meen gunakan susu segar)
250 ml minyak (Meen gunakan minyak masak biasa kerana ketiadaan minyak jagung yang lebih baik untuk kesihatan badan)
2 sudu besar susu pekat manis

Bahan D
250 ml air panas (atau secawan air panas)


Cara Penyediaan:
#1. Sediakan Bahan A, diayak dan diketepikan.
#2. Satukan Bahan B, dipukul sehingga putih (Meen hanya menggunakan whisk sahaja) dan kemudian dicampurkan Bahan C pula ke dalamnya.
#3. Masukkan Bahan A (tepung) ke dalam Bahan B dan Bahan C tadi dan digaul rata menggunakan spatula sahaja.
#4. Akhir sekali masukkan air panas dan dikacau rata.
#5. Tada! Siap!





Apabila hendak membakar, sediakan loyang yang telah digriskan terlebih dahulu dan dialaskan dengan kertas minyak.

Panaskan terlebih dahulu ketuhar pada suhu (160-175) darjah C bergantung kepada ketuhar anda selama (30 - 60 minit).

Untuk memastikan Kek Coklat telah dimasak sempurna, cucukkan lidi di tengah-tengah kek dan keluarkan. Sekiranya lidi yang dikeluarkan bersih, bermakna kek anda telah pun masak.

Semasa membakar, jangan dibuka tutup penutup ketuhar untuk mengelakkan kek menjadi bantat.



Inilah hasilnya cubaan pertama Meen.



Manisnya senyum.

Isnin, 12 September 2016

Hari Raya Haji dan Gotong Royong Korban 2016

Salam.

Tarikh 12-September-2016.

Bertempat di Dewan Sri Pulau Pinang, Cheras telah dikorbankan seekor lembu untuk tujuan Korban. 

Selepas Solat Sunat Aidil Adha, hujan turun dengan agak lebat dan ini menyebabkan aktiviti gotong royong ditunda sehingga hujan agak renyai. 

Bermulalah aktiviti gotong royong korban 2016 semepna Hari Raya Haji di Dewan SPP.






Proses melapah yang memakan masa yang agak lama kerana kekurangan kakitangan untuk menguruskannya. Ahli yang ada pun bukanlah terdiri daripada ahli yang mahir dalam bab lapah melapah. Walaupun begitu, akhirnya berjaya juga lembu yang seekor ini dilapah sehingga selesai.





















Seharian jugalah menunggu "MrPresident" pulang ke rumah. Maklumlah apabila sibuk dengan aktiviti gotong royong sebegini, sudah tentulah hanfon bukan lagi di tangan dan ditatap di tanagan lagi. Hanya apabila hampir pukul 4 barulah "MrPresident" tiba di rumah. 

Nampaknya, pada tahun ini juga, tidaklah dapat untuk Meen pulang ke Melaka kerana mengenangkan keadaan yang tidak mengizinkan. Waktu yang sangat suntuk tambahan lagi sudah tentu "MrPresident" keletihan setelah seharian bertungkus lumus dengan gotong royong ini.

Apa yang paling menguntungkan, dapatlah juga "MrPresident" membawa bekalan Sup Gear Box pulang ke rumah. 



Memang berselera Affan merasai Sup Gear Box yang dibawa pulang oleh "MrPresident". Nampaknya tak merasalah "MrPresident" akan Sup Gear Box yang dibawa pulang olehnya. Memang untuk anak-anak katanya. 

Terima kasih "MrPresident".

Manisnya senyum.

Ahad, 28 Ogos 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Lagi Sedap Piza Yang Dibakar Sendiri?

Salam.

Tarikh 9-Ogos-2016.

Hari ini Meen sediakan menu sarapan pagi yang paling mudah dan cepat.

Piza buatan sendiri!

Nampak sedap tak?




Sebenarnya, setiap pagi memang Meen bercadang untuk menyediakan sarapan pagi. Tetapi boleh dikatakan dalam 1 minggu, mungkin hanya 3 hari sahaja dapat menu sarapan pagi Meen sediakan.

Salah satu menu yang palingmudah untuk disediakan adalah Piza.

Roti Piza ni sebenarnya dah pun Meen beli siap-siap di kedai menjual bahan-bahan kek dan roti.

Kepelbagaian jenis keju iaitu Parmesan, Cheddar dan lain-lain menambahkan lagi keenakan Piza yang dibakar sendiri oleh Meen ini.

Nak cuba?

Memang mudah sahaja untuk menyediakan toppingnya.

Hmm. Nanti di lain ruangan Meen kongsikan pula cara untuk memasak toppingnya.

Bye.

Manisnya senyum.

Rabu, 27 Julai 2016

Rendang Mak!

Salam.

Tarikh 16-Julai-2016.

Minggu ini sebenarnya tak bercadang pun untuk pulang ke Melaka. Tapi entah macam mana, teringin sangat hendak balik berjumpa Mak.

Jadi, alkisahnya, rancangan asal untuk pulang semula ke Cheras selepas bersarapan, ditangguhkan hingga ke petang. Meen nak belajar masak rendang dengan Mak, Inilah pertama kali juga Meen memasak rendang. Selama ni, hanyalah menjadi pembantu sahaja. Tapi, hari ni (Ahad) tertunai jugalah untuk memasak rendang hasil tunjuk ajar Mak.

Hmm... sedapnya rendang air tangan Mak. :)


Rendang Mak!


Rupa-rupanya mudah sahaja hendak memasak Rendang Ayam ni, Asalkan cukup bahan-bahannya, bila-bila sahaja boleh memasak rendang ayam. Azam raya akan datang (tahun 2017), Meen nak masakkan anak-anak dan suami Rendang Ayam yang dimasak sendiri oleh Meen.

Manisnya senyum.

Rabu, 11 Mei 2016

Resipi Plain Pancake Yang Mudah

Salam.

Tarikh 12-Mei-2016.

Hari ini hari yang cukup sibuk namun Meen rasakan ianya amat-amat dimanfaatkan oleh Meen.

Untuk sarapan pagi ini, Meen sediakan Nasi Goreng Kampung dan Plain Pancake buat anak-anak.

Sebenarnya semalam telahpun Meen sediakan Plain Pancake tetapi oleh kerana sambutan yang menggalakkan daripada anak-anak, Meen pun mengulangi resipi ini untuk hari ini.



Tengoklah Afrina, belumpun sempat mandi dan bertukar baju, dah duduk di meja makan untuk makan Plain Pancake bersama madu semalam. Sehingga tiga keping untuk mengisi perutnya yang kelaparan.

Jom Meen kongsikan resipinya.

Plain Pancake

Bahan-Bahannya:

  • 1 cawan Tepung Gandum
  • 1 cawan Susu Segar
  • 1 biji Telur
  • 1 sudu kecil Baking Powder
  • 1 sudu kecil Vanilla
  • secubit Garam
  • sedikit Mentega (pilihan) 



Cara Penyediaanya:
  1. Masukkan tepung gandum dan baking powder ke dalam mangkuk besar.
  2. Masukkan susu dan dikacau rata.
  3. Masukkan telur dan vanilla.
  4. Perasakan dengan garam.
  5. Gaulkan kesemua bahan-bahan di atas sehingga sekata. 
  6. Panaskan "Non-Stick Pan" dengan api yang paling kecil. (Non-Stick Pan yang menjadi kebanggan "MrPresident" kerana amat-amat berbaloi memilikinya walaupun tidak disokong oleh Meen ketika "MrPresident" membelinya di Giant dengan harga RM6.90. Hahaha.)
  7. Tunggu sehingga buih-buih kecil timbul di permukaan.
  8. Tadaa. Dah pun siap.
  9. Tak perlu dipalingkan pun.
  10. Mudah kan?

Plain Pancake ni boleh dimakan dengan pilihan masing-masing samada menggunakan sedikit mentega, madu ataupun "chocolate spread" yang boleh dibeli di kedai-kedai runcit berhampiran. 

Meen lebih suka makan menggunakan Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread. Emm.. Memang lazat. Bukan sahaja anak-anak suka, Meen pun suka juga. 

Buat supermom di luar sana yang mencari-cari menu buat naak-anak, bolehlah mencuba resipi ini. Memang teramat mudah dan juga menjimatkan masa dan tenaga membuatnya. Hahaha. Apa yang penting, biar anak-anak yang tentukan rasanya. 

Kepada sahabat semua, jangan pernah berhenti melakukan apa yang penting di dalam hidup kita. Walau sesekali kita kehilangan motivasi dan semangat, teruskan melangkah kerana kejayaan menanti di hadapan buat kita. Setiap manusia pasti akan diuji dan berlainan pula ujian buat kita. 

Manisnya senyum.

Selasa, 10 Mei 2016

Skon Cip Coklat, Kuew Tiow Goreng dan Cabaran Hidup

Salam.

Tarikh 11-Mei-2016.

Diam tak diam. Telahpun masuk ke pertengahan bulan Mei. Begitu cepat masa berlalu.

Bagaimana dengan hari-hari sahabat yang telah berlalu?

Meen menghadapinya seperti biasa.  Cuma kebelakangan ini, hati mudah sahaja patah barangkali. Namun syukur juga hati yang patah itu masih boleh dibaiki lagi. Meen cuba juga untuk tidak menggores hati-hati orang di sekeliling Meen. Biarlah Meen sahaja yang patah hati. Jangan mereka. Biarlah Meen sahaja yang hilang motivasi. Jangan pula mereka. Ya Allah, tabahkanlah hambaMu ini.

Jom cerita mengenai hari ini.

Pagi-pagi lagi Meen azamkan diri supaya bangun usai sahaja pukul 5 pagi. Awal? Hmm. Meen sendiri sebenarnya kecewa dengan diri Meen yang semakin sukar untuk bangun awal kebelangan ini. Pukul 4 angka yang biasanya akan Meen bangun setiap hari untuk persediaan menghadapi hari ceria. Meen harap esok dan selamanya Meen boleh mencapai sasaran untuk bangun pada pukul 4 pagi. Bukan apa, untuk bersedia menghadapi hari yang baru dengan lebih ceria. Pagi.. bukankah waktu pagi waktu yang paling pantas detiknya?

Hari ini Meen sediakan sarapan Skon Cip Coklat dan Kuew Tiow Goreng bersama Teh Strawberry.


Hari ini berazam nak sediakan lebih sedikit sarapan supaya dapatlah nanti Afrina bawa ke sekolah sebagai bekalan. Hmm, memang kalau sungguh kita berazam, akan dimudahkan urusannya. Inilah Skon Cip Coklat yang Meen sediakan untuk hari ini. Memang mudah sahaja penyediaanya.



Kuew Tiow Goreng ini pula Meen sediakan menggunakan bahan-bahan asas sahaja. Tiada penggunaan udang pun di dalamnya.



Tapi hari ini Meen terkejut juga melihat Afrina yang makan dengan seleranya. Siap bertambah pula. Bukan sahaja siap bertambah, siap hendak dibekalkan dengan Kuew Tiow Goreng untuk dibawa ke sekolah sebagai bekalan petang nanti. memang tak bolehlah anak, nanti sakit pula perut kamu.



Skon Cip Coklat ini pula diminta untuk dimakan Adlina sebaik sahaja dikeluarkan dari oven. Anak, anak. Lapar sungguh agaknya kamu ya. Tergelak sorang-sorang Meen melihatkan gelagatnya.

Skon Cip Coklat ini memang mudah untuk disediakan. Jika sekiranya sahabat dapat menguli dohnya pada malam hari sebelum tidur, itu mungkin lebih baik kerana ianya memang dapat menjimatkan masa pada waktu pagi. Jadi sekiranya doh sudah siap pada malam hari, esoknya bolehlah hanya dibakar di dalam oven selama 35-45 minit pada suhu 170'C bergantung kepada oven sahabat semua,



Buat sahabat semua, apa yang penting di dalam hidup kita haruslah diutamakan dahulu. Ini juga motivasi buat Meen sendiri. Ada masanya Meen kukuh berdiri mejalani kehidupan, tapi ada juga masanya Meen sukar sekali untuk bangun semula setelah terjatuh. Namun apa yang pasti, biar seteruk mana pun kita jatuh, bangunlah semula dan berdiri tegak. Andai kiranya tak mampu juga, ingatlah bahawa ramai yang mengharapkan kebangkitan semula kita. Ingatkan orang-orang tersayang di dalam hidup kita, dari situlah datangnya nanti kekuatan itu.

Selamat menjalani kehidupan yang penuh cabaran sahabat.

"Hidup memang bukan mudah, dan kerana payahnyalah kehidupan itu, aku dan engkau menjadi lebih bermakna" kata Faisal Tehrani.

Jom Kita Bangkit Semula!

Manisnya senyum.

Selasa, 19 April 2016

Tempahan Semperit Cinta Dibuka Sekarang

Salam.

Tarikh 20-April-2016.






Semperit memang menjadi biskut raya yang disukai ramai sejak zaman berzaman.

Jadi apa kata sahabat mencuba Semperit Cinta hasil buatan tangan Meen sendiri untuk raya yang bakal tiba nanti, atau boleh juga sahabat menjadikan Semperit Cinta ini sebagai buah tangan atau dijadikan hadiah buat insan-insan teristimewa dalam hidup sahabat seperti ibu, ibu mertua, adik-beradik atau sahabat handai.

Tempahan untuk Semperit Cinta "homemade" dan "homebake" ini Meen buka sekarang.

Bagaimana untuk membuat tempahan?

Boleh cuba hubungi/PM/WhatsApp.


H/P: 019-220 2771



Kenapa sahabat harus mencuba Semperit Cinta?
  • Homemade dan homebake oleh Meen sendiri
  • Harga yang sangat berpatutan di pasaran 
  • Hanya RM30/balang
  • Fresh from oven
  • Menggunakan mentega sepenuhnya bukan merjerin
  • Sesuai dijadikan hadiah terutama buat ibu tercinta
  • Tiada bahan pengawet


Jadi, apa tunggu lagi? Jom cuba dulu.

Hubungi nombor 019-220 2771.

Cepat sebelum tempahan ditutup.

Manisnya senyum.

Khamis, 14 April 2016

Adlina dan Nasi Goreng Udang

Salam.

Tarikh 14-April-2016.

Hari ini Meen mula memikirkan bagaimana lagi supaya dapat diberikan ruang untuk mula mengatur langkah semula.

Banyak pekara yang harus direncanakan untuk melaksanakan matlamat satu persatu.

Pengurusan masa amat penting dalam mengemudikan dan menguruskan rumahtangga kini.

Bergelar "Stay at Home Mom" bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan sekiranya tidak dirancang teliti, banyak juga perkara yang tidak akan dapat dilaksanakan.

Hari ini Meen mengambil jalan pintas untuk memasak nasi goreng.

Nasi Goreng Udang.

Adlina dan Udang - Berpisah Tiada

Mujur juga Adlina amat menggemari udang. Jadi mudahlah juga untuk mengumpan dia makan nasi goreng yang Meen masakkan khas untuknya.

Nasi goreng udang yang menjadi resipi kebiasaan bagi Meen bilamana Meen akan menambahkan senarai tugasan dalam jadual harian Meen.

Cuma kali ini, lobak merah digantikan dengan kobis yang dihiris nipis-nipis.

Manisnya senyum.

Selasa, 5 April 2016

5 Tips Mudah Menyediakan "Cookies" Sedap

Salam.

Tarikh 5-April-2016.

Ramadhan bakal menjelang tiba.

Syawal pula bakal menyusul.

Apa kata tahun ini, kita mencuba untuk menyediakan sendiri "cookies" atau biskut-biskut raya untuk hidangan tetamu di rumah.

Bukankah lebih ekonomi?

Bagaimana untuk menyediakan "cookies" yang sedap?

Jom Meen kongsikan rahsianya.





5 Tips Mudah Menyediakan "Cookies" Sedap

1. Gunakan bahan-bahan yang berkualiti dan bermutu tinggi kerana ini akan menghasilkan
      rasa yang enak kepada "cookies".

2. Sukat bahan-bahan masakan dengan tepat.

3. Rehatkan doh seketika di dalam peti sejuk selepas selesai mengadun terutamanya untuk
      "cookies" yang akan diterap.




4. Jangan letakkan "cookies" rapat-rapat di dalam dulang pembakar kuih dan jarakkan 1"
      semasa meletakkan "cookies".

5. Jangan gunakan telur yang masih lagi sejuk sekiranya telur disimpan di dalam peti sejuk,
      biarkan ia seketika sehingga bertukar ke suhu bilik.


Sekiranya anda tidak yakin dengan kebolehan anda, apa kata cuba 1 jenis "cookies" dahulu untuk tahun permulaan ini.

Meen ucapkan selamat mencuba.

Manisnya senyum.

Khamis, 24 Mac 2016

Asam Rebus Bendi Yang Mudah dan Menjimatkan Masa

Salam. 

Tarikh 25-Mac-2015.

Hari Jumaat biasanya merupakan hari yang paling singkat bagi Meen. Cepat betul masa berlalu meninggalkan kita. 

Jadi, pada hari ini, Meen bercadang untuk masa yang mudah-mudah sahaja. Memang kebiasaannya pun, Meen hanya akan memasak (atau boleh dikatakan pandai memasak) yang mudah-mudah sahaja.

Jom Meen kongsikan resipi hari ini. 


Asam Rebus Bendi

Asam Rebus Bendi

Bahan-Bahan Untuk Asam Rebus Bendi
Bahan-Bahannya:
  • Bendi 
  • Sebuku Lengkuas
  • 1 biji Bawang Merah
  • 1 inci Kunyit
  • 5 batang Cili Kering
  • 1 inci Halia
  • 1 sudu besar Udang Kering
  • 1 inci Belacan
  • 3 kepin Asam Keping

Cara Penyediaanya:
  1. Sediakan bendi, bersihkan dan dipotong-potong.
  2. Jerang air di atas api.
  3. Setelah mendidih, masukkan bahan-bahan tadi kesemua sekali kecuali cili kering.
  4. Biarkan mendidih semula.
  5. Masukkan bendi.
  6. Kemudian barulah dimasukkan cili kering (Meen biarkan cili kering tanpa dipotong-potong kerana tak mahu bijinya bersepah).
  7. Perasakan dengan garam.
  8. Sedia untuk dihidang.




Selain mudah untuk disediakan, ianya juga menjimatkan masa kerana mengambil masa yang singkat. Bolehlah diselitkan di dalam jadual harian hari ini untuk melaksanakan tugasan yang lain.

Asam Rebus Bendi ini juga sihat untuk dimakan seisi keluarga.

Selamat mencuba.

Manisnya senyum.

Jumaat, 18 Mac 2016

Siput Sedut Masak Lemak Cili Api

Salam.

Tarikh 18-Mac-2016.

Hari ini "MrPresident" membelikan siput sedut di Pasar Pudu.

Menjadi kebiasaan apabila handak memasak siput sedut, yang menjadi ketua chef nya sudah tentulah "MrPresident". Meen hanya menjadi pembantu chef sahaja. Tapi hari ini Meen diminta oleh "MrPresident" untuk memasak siput sedut yang menjadi kegemarannya ini.

Mudah sahaja rupanya.

Siput Sedut Masak Lemak Cili Api 

Bahan-Bhan Siput Sedut Masak Lemak Cili Api
Bahan-Bahannya:

  • 1 kg siput belitung 
  • 500 ml santan pekat
  • 2 inci kunyit hidup
  • 1 genggam cili api 
  • 2 keping asam keping 
  • 2 batang serai (dititik)
  • 3 ulas bawang puth
  • 1 ulas bawang merah 
  • 1 inci (atau kurang) halia
  • 1 helai daun kunyit (dicarik-carik)
  • minyak untuk menumis
  • garam penambah rasa

Cara Penyediannya:
  1. Bersihkan siput belitung terlebih dahulu. Meen gunakan alat yang seperti di atas untuk membuang hujung ekor siput. Bertabahlah kerana proses ini memang mengambil masa sekiranya kita tak biasa membuatnya. Tapi penggunaan alat ini memang melancarkan proses pembersihan. Basuh berkali-kali siput sehingga bersih daripada lumpur. Pernah Meen lihat di televisyen, seorang pengusaha restoren yang popular dengan masakan siput sedut ini memberitahu, cara mudah untuk membersihkan siput sedut adalah dengan menggunakan hampas kelapa. Tapi bagi Meen yang hanya membeli santan yang sudah siap diperah sahaja, cukuplah dengan hanya menggunakan air berkali-kali.  
  2. Setelah siput bersih, sediakan bahan-bahan masakan seperti di atas. Hanya gunakan pengisar untuk cepat dan mudah. Tambahan lagi sekiranya masih ada anak kecil, gunakan sahaja pengisar. Yang penting, kita siap memasak dengan cepat nanti.
  3. Tumis bahan kisar tadi. Masukkan serai, asam keping dan daun kunyit. 
  4. Setelah ditumis sempurna, masukkan santan dan setengah cawan air. 
  5. Setelah menggelegak, masukkan siput sedut tadi.
  6. Masak dengan api sederhana. 
  7. Perasakan dengan garam.
  8. Sedia untuk dihidang.
  9. Selamat mencuba.


Siput Sedut Masak Lemak Cili Api


Tersenyum Meen melihat "MrPresident" makan dengan seleranya setelah balik daripada solat Jumaat. Itu belum lagi melihatkan Adlina yang beria-ia menyedut siput sedut walaupun agak pedas juga Meen memasaknya. Mungkin selera "MrPresident" yang diwarisinya. 

Bolehlah dicuba lagi selepas ini.

Manisnya senyum.

Selasa, 23 Februari 2016

Semperit Cinta Mudah dan Ringkas

Salam.

Tarikh 24-Februari-2016.

Hari ini Meen teringin pula hendak mengulangi membuat Semperit Cinta semasa ingin menyambut kedatangan hari raya puasa pada tahun 2015.

Selama ini, memang tak pernah langsung Meen terfikir untuk menyediakan sendiri biskut dan kuih raya untuk sambutan hari raya. Maklumlah, semuanya ditunjuk-tunjuk sahaja.

Tetapi selepas "MrPresident" membawa pulang kuih siput yang dibuat secara gotong royong bersama sahabatnya yang sedap sehingga tidak berhenti-henti mengunyahnya, Meen pun teringin juga hendak membantu untuk menyediakan biskut dan sajian untuk menyambut hari raya.

Semalam sebelum tidur, Meen telahpun menyediakan bahan-bahannya. Jadi semuanya telahpun Meen sukat dan sediakan terlebih dahulu supaya tidak mengambil masa terlalu lama di dapur nanti. Bila ada anak kecil ni, semuanya hendaklah dirancang terlebih dahulu. Jadi, pagi ini tinggal hendak menguli sahaja.

Jom Meen kongsikan resipinya. Resipi ini diambil daripada Majalah Harmoni Julai 2015 namun diolah sedikit oleh Meen.


magazinesbymeen.blogspot.my
Semperit Cinta



Semperit Cinta.

Bahan-Bahannya:
  • 125gm Mentega
  • 50gm Gula aising
  • 1 biji Kuning Telur
  • 190gm Tepung gandum
  • 30gm Tepung kastard
  • Manik gula (untuk hiasan)



Cara Penyediaanya:

  1. Pukul mentega dan gula aising sehingga berubah warna kekuningan dan masukkan esen vanilla.
  2. Masukkan kuning telur dan kacau rata.
  3. Masukkan tepung gandum dan tepung kastard serta kaup balikkan sehingga rata.
  4. Adunan siap.
  5. Gunakan paip doh semperit dan susunkan di dalam loyang pembakar kuih.
  6. Hiaskan dengan manik gula.
  7. Bakar pada suhu 175 darjah Celcius sehingga masak (bakar pada 15-20 minit bergantung kepada oven pembakar anda). 
  8. Setelah semperit berada pada suhu bilik, bolehlah disimpan di dalam balang.

magazinesbymeen.blogspot.my
Semperit Cinta Sebelum Dibakar
magazinesbymeen.blogspot.my
Semperit Cinta Sedia Untuk Dimakan

Belum pun sempat dimasukkan ke dalam balang, Adlina sudah terlebih dahulu merasai Semperit Cinta ini. Sedap katanya. Tersenyum sahaja Meen memerhatikan gelagatnya. Kini, Adlina boleh diajak ke dapur sebagai teman memasak. Walau sesekali dia meminta untuk menolong mengacau rata adunan, Meen biarkan sahaja. Apa yang penting baginya, peluang dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membantu membuat kuih Semperit Cinta ini. 

Jangan lupa mencuba.

Memang amat mudah. Mungkin sahabat semua ingin mencuba untuk hari raya pada tahun ini. Manalah tahu. dapat juga kita berjimat cermat. Membantu menguruskan ekonomi keluarga kita dengan lebih ekonomi. Itukan satu usaha juga. 

Manisnya senyum.

Khamis, 18 Februari 2016

Jemput-Jemput Lobak Merah Buat Adlina

Salam.

Tarikh 19-Februari-2016.

Cepat betul masa berlalu. Sudahpun dua bulan kita meninggalkan tahun 2015.

Hari ini hari Jumaat. Hari Jumaat merupakan hari yang paling cepat putarannya mengikut pandangan dan pengalaman Meen.

Hampir sudah kita ke penghujung bulan Februari 2016.

Permintaan daripada Adlina, pagi ini Meen menyediakan jemput-jemput sebagai sarapan. Cepat dan ringkas. Memang itulah yang Meen selalu harapkan apabila hendak mnyediakan hidangan untuk sarapan.

Jemput-jemput ini sesuai dimakan begitu sahaja atau boleh juga dimakan dengan sos cili.

Jom Meen kongsikan resipinya.


Jemput-Jemput Lobak Merah.

magazinesbymeen.blogspot.my
Jemput-Jemput Lobak Merah

Bahan-bahannya:

  • 4-6 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar serbuk lada putih
  • 3 sudu besar ikan bilis
  • 1 biji bawang merah
  • 1 inci lobak merah dipotong mancis
  • Secubit soda bikarbonat 
  • Garam secukup rasa 
  • 2-3 cawan air
  • Minyak untuk menggoreng
magazinesbymeen.blogspot.my
Langkah Demi Langkah

Cara Penyediaannya:
  1. Kisarkan bawang merah, ikan bilis bersama lada sulah sehingga halus. Tambahkan sedikit air bagi memudahkan proses mengisar.
  2. Masukkan tepung gandumm ke dalam mangkuk besar dan tambahkan soda bikarbonat dan garam. Kacau rata.
  3. Masukkan bahan kisar tadi ke dalam adunan tepung gandum.
  4. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil dikacau adunan tepung tadi sehingga agak lembut.
  5. Sedia untuk digoreng.
  6. Gunakan api kecil untuk mengelakkan jemput-jemput masak tidak sekata ketika baru memasukkan jemput-jemput, 
  7. Setelah kuali penuh, barulah dibesarkan sedikit api.
  8. Sedia untuk dihidang. 
  9. Selamat mencuba.

Semoga hari sahabat semua dipenuhi dengan keceriaan dan kegembiraan.

Semoga sahabat dan Meen sendiri dilimpahi rezeki yang luas. 

Ameen.


Manisnya senyum.

Rabu, 17 Februari 2016

Gulai Kuning Telur Ayam

Salam.

Tarikh 18-Februari-2016.

Hari ini Meen perlu cepat-cepat memasak bagi memastikan Afrina dapat segera mengalas perut dengan sepinggan nasi kerana pada hari ini Afrina akan ke sekolah kebangsaan daripada rumah.

Sekolah agama akan tamat waktu persekolahan pada pukul 10.45 pagi. Jadi, pada jam 11.00 pagi nanti, Meen perlu siap memasak hidangan tengahari.

Memikirkan apa yang patut dimasak supaya boleh selesai memasak dengan cepat, sambil tangan segera memandikan Affan.

Walaupun mata masih lagi terasa bengkak kerana melayan kerenah Affan yang tidak lena tidur semalam, Meen perlu cepat dan pantas bagi memastikan Afrina boleh makan nasi sebelum ke sekolah kebangsaan nanti.

Lalu, datanglah idea untuk memasak gulai kuning telur yang tidak pedas supaya boleh pula dinikmati oleh anak-anak.

Jom Meen kongsikan resipi mudah ni.



Gulai Kuning Telur Ayam.

Bahan-bahannya:

  • 6 biji telur ayam
  • 500 gm santan pekat
  • 3 inci kunyit
  • 1 ulas bawang merah (agak besar saiznya)
  • 1 ulas bawang putih (agak besar saiznya)
  • 7 biji cili api
  • 1 cm belacan
  • 1 keping asam keping
  • 1 helai daun kunyit
  • 2 batang serai
  • Garam 

Cara Penyediaannya:
  1. Tumbuk dan pecah-pecahkan sedikit serai menggunakan lesung batung.
  2. Tumbuk lumat kunyit, bawang merah, bawang putih, cili api dan belacan. 
  3. Letakkan di dalam periuk kesemua bahan tumbuk tadi, 
  4. Masukkan daun kunyit yang di siat-siat, serai yang ditumbuk sedikit tadi, dan asam keping. 
  5. Di dalam kuali, masukkan separuh air dan tunggu hingga mendidih.
  6. Selepas air mendidih, masukkan sebiji telur dan tunggu sehingga telur tadi agak mengeras dengan api kecil. 
  7. Telur yang sudah mengeras tadi dikeluarkan dan proses dilakukan untuk kesemua telur satu persatu. 
  8. Selepas selesai, ambil lebihan air bagi memasak telur tadi dan dimasukkan ke dalam periuk berisi bahan tumbuk tadi.
  9. Tunggu sehingga air mendidih, dan masukkan santan. 
  10. Kacau seketika sehingga mendidih dan dimasukkan telur. 
  11. Perasakan dengan sedikit garam.
  12. Biar seketika dan sedia untuk dihidang. 
  13. Selamat mencuba.

Manisnya senyum.