Tarikh 11-Mei-2016.
Diam tak diam. Telahpun masuk ke pertengahan bulan Mei. Begitu cepat masa berlalu.
Bagaimana dengan hari-hari sahabat yang telah berlalu?
Meen menghadapinya seperti biasa. Cuma kebelakangan ini, hati mudah sahaja patah barangkali. Namun syukur juga hati yang patah itu masih boleh dibaiki lagi. Meen cuba juga untuk tidak menggores hati-hati orang di sekeliling Meen. Biarlah Meen sahaja yang patah hati. Jangan mereka. Biarlah Meen sahaja yang hilang motivasi. Jangan pula mereka. Ya Allah, tabahkanlah hambaMu ini.
Jom cerita mengenai hari ini.
Pagi-pagi lagi Meen azamkan diri supaya bangun usai sahaja pukul 5 pagi. Awal? Hmm. Meen sendiri sebenarnya kecewa dengan diri Meen yang semakin sukar untuk bangun awal kebelangan ini. Pukul 4 angka yang biasanya akan Meen bangun setiap hari untuk persediaan menghadapi hari ceria. Meen harap esok dan selamanya Meen boleh mencapai sasaran untuk bangun pada pukul 4 pagi. Bukan apa, untuk bersedia menghadapi hari yang baru dengan lebih ceria. Pagi.. bukankah waktu pagi waktu yang paling pantas detiknya?
Hari ini Meen sediakan sarapan Skon Cip Coklat dan Kuew Tiow Goreng bersama Teh Strawberry.
Hari ini berazam nak sediakan lebih sedikit sarapan supaya dapatlah nanti Afrina bawa ke sekolah sebagai bekalan. Hmm, memang kalau sungguh kita berazam, akan dimudahkan urusannya. Inilah Skon Cip Coklat yang Meen sediakan untuk hari ini. Memang mudah sahaja penyediaanya.
Kuew Tiow Goreng ini pula Meen sediakan menggunakan bahan-bahan asas sahaja. Tiada penggunaan udang pun di dalamnya.
Tapi hari ini Meen terkejut juga melihat Afrina yang makan dengan seleranya. Siap bertambah pula. Bukan sahaja siap bertambah, siap hendak dibekalkan dengan Kuew Tiow Goreng untuk dibawa ke sekolah sebagai bekalan petang nanti. memang tak bolehlah anak, nanti sakit pula perut kamu.
Skon Cip Coklat ini pula diminta untuk dimakan Adlina sebaik sahaja dikeluarkan dari oven. Anak, anak. Lapar sungguh agaknya kamu ya. Tergelak sorang-sorang Meen melihatkan gelagatnya.
Skon Cip Coklat ini memang mudah untuk disediakan. Jika sekiranya sahabat dapat menguli dohnya pada malam hari sebelum tidur, itu mungkin lebih baik kerana ianya memang dapat menjimatkan masa pada waktu pagi. Jadi sekiranya doh sudah siap pada malam hari, esoknya bolehlah hanya dibakar di dalam oven selama 35-45 minit pada suhu 170'C bergantung kepada oven sahabat semua,
Buat sahabat semua, apa yang penting di dalam hidup kita haruslah diutamakan dahulu. Ini juga motivasi buat Meen sendiri. Ada masanya Meen kukuh berdiri mejalani kehidupan, tapi ada juga masanya Meen sukar sekali untuk bangun semula setelah terjatuh. Namun apa yang pasti, biar seteruk mana pun kita jatuh, bangunlah semula dan berdiri tegak. Andai kiranya tak mampu juga, ingatlah bahawa ramai yang mengharapkan kebangkitan semula kita. Ingatkan orang-orang tersayang di dalam hidup kita, dari situlah datangnya nanti kekuatan itu.
Selamat menjalani kehidupan yang penuh cabaran sahabat.
"Hidup memang bukan mudah, dan kerana payahnyalah kehidupan itu, aku dan engkau menjadi lebih bermakna" kata Faisal Tehrani.
Jom Kita Bangkit Semula!
Manisnya senyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan