Salam.
16-Mei-2016.
Selamat Hari Guru.
Meen merancang sebenarnya untuk menghadiahkan sedikit buah tangan kepada guru-guru yang mengajar Afrina. Dengan ilmu yang diajar merekalah, Afrina banyak menunjukkan kemajuan dari segi pendidikannya. Namun oleh kerana kekangan masa, tak dapat juga Meen menyediakan buah tangan buat mereka. Apapun, ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat guru-guru yang telahpun mengajar Afrina atau yang masih lagi mendidiknya di sekolah. Jasa kalian memang tak terbalas oleh Meen. Hanya ucapan dan penghargaan terima kasih buat semua guru.
Selamat Hari Guru.
Terjaga sahaja Adlina daripada tidur hari ini, dia mencari Affan. "Ma, ne Fan?" soalnya kepada Meen. Meen yang sedang menggosok baju sekolah Afrina tersenyum sahaja dan menjawab "Affan ada di depan".
Sungguh, seperti ada hubungan yang kuat di antara Adlina dan Affan. Mungkin juga kerana jarak yang agak rapat, membuatkan ikatan antara mereka terjalin erat. Teringat juga dulu, sewaktu melangkah masuk ke rumah, selepas bermalam tiga hari di HKL bersalinkan Affan, Adlina jugalah yang menyambut kepulangan Meen dan Affan. Geli hati juga memikirkannya, tetapi itulah Adlina. Lagaknya kadang-kadang seperti orang yang lebih berusia dari umurnya. Mungkin itulah juga karakter dari dalam dirinya yang dibawa sejak dalam kandungan lagi.
Selepas dua hari Afrina bercuti, pagi ini Adlina merasakan seperti kosong apabila Kak Long ke sekolah. Namun, emosinya jarang sekali dizahirkan. Dia menunggu Affan untuk bangun daripada tidur. Usai sahaja Affan bangun, bermulalah "projek" mereka berdua.
Hari ini Meen merancang untuk menyelesaikan baki baju-baju yang tidak sempat untuk dilipat. Meen pun mengeluarkan bakul baju dan mula melipat baju-baju yang tinggal. Sedari awal, memang Adlina menunggu sahaja untuk mengambil bakul baju tersebut. Namun, dia bersabar sehinggalah bakul tersebut kosong tidak berisi lagi dan bermulalah kegembiraannya bersama bakul.
Apalagi, itulah projek mereka hari ini. Bakul baju Meen dijadikan mainan oleh Adlina. Tergelak-gelak Affan melihatkan aksi Kak Ngah. Keluar masuk keluar masuk daripada bakul baju. Bukan sahaja dia melayan Affan, malahan meminta pula Meen mengambil gambarnya untuk dikongsikan pula dengan "MrPresident".
Adlina... Oh... Adlina...
Sesekali melihatnya tatkala dia lena tidur, serasa ingin sekali dipicit-picit pipinya yang gebu.
Semoga menjadi anak yang solehah sayang.
Adlina... Keadilan Kami...
Manisnya senyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan