Jumaat, 1 Januari 2016

Kenapa Perlu Ada Stok Simpanan Puri?

Salam.

Tarikh: 1-Januari-2016.

Melangkah kita ke tahun baru. Tahun 2016.

Bercerita mengenai kisah panduan pemberian makanan pelengkap bayi yang pertama, iaitu daripada 6 bulan hinggalah bayi berusia 12 bulan, puri menjadi salah satu daripada menu hidangan buat si comel anda.

Apa sebenarnya puri?

Puri jika menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, adalah perahan yang pekat daripada buah atau sayur yang dimasak dan ditapis; memurikan memproses atau membuat buah-buahan atau sayur-sayuran menjadi puri.

Jadi, selepas mengenali apa sebenarnya puri itu, senanglah untuk menyediakan simpanan puri. Puri boleh disediakan berasaskan sayur-sayuran ataupun buah-buahan. Apa yang paling penting, sebelum memulakan penyediaan puri, basuh bersih-bersih terlebih dahulu makanan tersebut dan untuk makanan yang keras atau lebih pejal, eloklah dimasak atau distim terlebih dahulu sehingga menjadi lembut dan boleh dikisar.

Terdapat  banyak jenis puri yang boleh "supermom" sediakan. Di antaranya, puri kentang, puri brokoli, puri lobak merah, puri kurma, puri betik, puri pisang, puri pir, puri epal, puri mangga dan juga puri keledek. Terdapat banyak lagi jenis-jenis sayur-sayuran atau buah-buahan yang boleh dipuri, namun terpulanglah kepada kreativiti "supermom" dan juga yang penting cara penerimaan si comel untuk setiap jenis puri. Jangan menyangka si comel tidak mempunyai citarasa.

Hari ini pagi-pagi lagi Meen sudah menyediakan puri buat si manja Affan. Apa yang dapat Meen sediakan pagi ini adalah puri kentang, puri kurma dan puri betik.

Penyediaan Puri

Bagi mengejar atau mendapatkan kembali berat badan ideal buat si manja Affan, Meen menggunakan beras perang ecoBrown dan beras sunwhite jasmine dalam penyediaan bubur Affan. Ini kerana beras perang dikatakan mempunyai kandungan nutrisi yang lebih tinggi berbanding beras biasa dan mampu memberi manfaat kesihatan dari pelbagai segi. 

Puri Betik

Untuk puri betik, Meen hanya potong dadu betik tersebut dalam saiz 1-2cm sebelum dikisar tanpa menggunakan air atau distim terlebih dahulu. Betik tersebut telah lembut dan masak sepenuhnya jadi mudah sahaja untuk dikisar.

Puri Betik

Untuk puri kentang pula, Meen telahpun merebus terlebih dahulu kentang yang dipotong dalam saiz 1-2cm sehingga lembut seperti lembutnya untuk dikunyah.

Puri Kentang

Untuk puri kurma pula, buangkan biji dan potong memanjang terlebih dahulu kurma tersebut. Rendamkan kemudiannya dengan air panas sehingga tenggelam. Tunggu sehingga kurma lembut dan bolehlah dikisar.

Semalam Meen sediakan puri mangga buat Affan. Penyediaan puri mangga juga disediakan dengan memotong dadu 1-2cm terlebih dahulu dan dicampur dengan air sedikit sebelum dimasak di atas api. Tunggu sehingga lembut dan sejuk dan kemudian bolehlah dikisar.

Simpanan Stok Puri

Simpanan Stok Puri dan Bubur Nasi

Hari ini Meen terpaksa meyediakan terlebih dahulu bubur Affan kerana menjangkakan aktiviti hari ini yang mungkin padat di luar. Jadi, tak perlu risau bekalan makanan untuk Affan lagi.

Simpanan stok puri amat perlu bagi Meen kerana kadangkala kesibukan tugasan harian yang tidak menentu tambahan lagi Meen tidak pula secekap di dapur dalam penyediaan hidangan makanan. Simpanan stok puri Meen pula Meen sediakan dalam bekas kecil-kecil yang berpenutup supaya senang Meen capai sekiranya hendak keluar rumah nanti. Mudah pula ianya mencair dan Meen hanya perlu rendamkan sahaja di dalam air panas. Namun, sekiranya Meen di rumah, memanglah Meen akan hangatkan semula puri yang sedia ada menggunakan periuk tanah liat Meen.

Tips penyediaan stok simpanan puri
  • Basuh bersih-bersih makanan sebelum memulakan apa-apa proses penyediaan puri. 
  • Dalam penyediaan puri, sebelum dikisar atau menggunakan mesin kisar, pastikan makanan itu sejuk suam-suam kuku terlebih dahulu. Jangan kisar panas-panas bagi mengelakkan pengisar rosak. 
  • Jangan pula mengisi mesin pengisar sehingga ke takat maksimum atau MAX (sila lihat takat pada bekas pengisar).
  • Potong makanan dengan saiz yang kecil 1-2cm sebelum dikisar.
  • Sekiranya menggunakan "blender", jangan digunakan sehingga lebih daripada 1minit untuk satu tempoh masa mengisar. 
  • Untuk "dry mill" dan "wet mill" pula jangan gunakan lebih daripada 30 saat untuk satu-satu masa. 
  • Puri yang sudah selesai di isi didalam bekas simpanan, hendaklah segera disimpan di dalam peti sejuk beku. 
  • Jangan simpan lebih daripada 1 minggu atau lebih stok simpanan puri, kerana kita juga sukakan makanan yang segar berbanding makanan sejuk beku. Walaupun si comel masih tidak boleh berkata-kata, cubalah fahami kehendak si comel.
Namun, apa yang paling penting dalam panduan pemberian makanan pelengkap adalah

  1. Makanan pelengkap hanya perlu diperkenalkan kepada si comel apabila berusia 6 bulan, namun penyusuan susu ibu jangan pula dihentikan sehingga si comel berusia 2 tahun. 
  2. Perkenalkan makanan kepada bayi dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu. setelah si comel dapat menerima makanan tersebut dengan baik, tingkatkan kuantiti makanan secara beransur-ansur mengikut umur si comel.
  3. Sediakan juga makanan daripada pelbagai jenis makanan untuk memastikan semua keperluan nutien dipenuhi.
  4. Daging, ayam, ikan. telur, susu dan produk tenusu perlu diberi dengan kerap.
  5. Elakkan menambah garam, gula atau bahan perisa ke dalam makanan bayi.

Semoga "supermom" dapat mejadi lebih hebat dan lebih kreatif selepas ini dalam cara penyediaan pemberian makanan kepada si comel.

Selamat mencuba.

Manisnya senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan