Memaparkan catatan dengan label SeleraSiManja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SeleraSiManja. Papar semua catatan

Selasa, 25 Oktober 2016

Resipi Chocolate Chip Muffin

Salam.

Tarikh 25-Oktober-2016.


Resipi Chocolate Chip Muffin

Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:

  • 125 gm tepung gandum - ayak dengan baking powder
  • 7 gm baking powder
  • 75 gm minyak masak
  • 75 gm susu segar
  • 75 gm gula caster
  • 1 biji telur B
  • 1/2 sudu teh vanila
  • Sedikit chocolate chips - tabur


Cara Penyediannya:

Kacau sebati minyak, susu, gula, telur dan vanilla.

Masukkan sedikit demi sedikit tepung dan kacau sebati dengan menggunakan spatula sehingga tidak bergentel.

Masukkan ke dalam paper cup sebanyak 3/4 penuh. Tabur chocolate chips di atasnya.

Bakar pada suhu 160C selama 30 minit atau sehingga masak.

Sedia untuk dihidang!








Manisnya senyum.

Jumaat, 16 September 2016

Resipi Spageti Bolognese

Salam.

Tarikh 17-September-2016.

Resipi Spageti Bolognese.





Manisnya senyum.

Isnin, 12 September 2016

Hari Raya Haji dan Gotong Royong Korban 2016

Salam.

Tarikh 12-September-2016.

Bertempat di Dewan Sri Pulau Pinang, Cheras telah dikorbankan seekor lembu untuk tujuan Korban. 

Selepas Solat Sunat Aidil Adha, hujan turun dengan agak lebat dan ini menyebabkan aktiviti gotong royong ditunda sehingga hujan agak renyai. 

Bermulalah aktiviti gotong royong korban 2016 semepna Hari Raya Haji di Dewan SPP.






Proses melapah yang memakan masa yang agak lama kerana kekurangan kakitangan untuk menguruskannya. Ahli yang ada pun bukanlah terdiri daripada ahli yang mahir dalam bab lapah melapah. Walaupun begitu, akhirnya berjaya juga lembu yang seekor ini dilapah sehingga selesai.





















Seharian jugalah menunggu "MrPresident" pulang ke rumah. Maklumlah apabila sibuk dengan aktiviti gotong royong sebegini, sudah tentulah hanfon bukan lagi di tangan dan ditatap di tanagan lagi. Hanya apabila hampir pukul 4 barulah "MrPresident" tiba di rumah. 

Nampaknya, pada tahun ini juga, tidaklah dapat untuk Meen pulang ke Melaka kerana mengenangkan keadaan yang tidak mengizinkan. Waktu yang sangat suntuk tambahan lagi sudah tentu "MrPresident" keletihan setelah seharian bertungkus lumus dengan gotong royong ini.

Apa yang paling menguntungkan, dapatlah juga "MrPresident" membawa bekalan Sup Gear Box pulang ke rumah. 



Memang berselera Affan merasai Sup Gear Box yang dibawa pulang oleh "MrPresident". Nampaknya tak merasalah "MrPresident" akan Sup Gear Box yang dibawa pulang olehnya. Memang untuk anak-anak katanya. 

Terima kasih "MrPresident".

Manisnya senyum.

Ahad, 28 Ogos 2016

Rabu, 11 Mei 2016

Resipi Plain Pancake Yang Mudah

Salam.

Tarikh 12-Mei-2016.

Hari ini hari yang cukup sibuk namun Meen rasakan ianya amat-amat dimanfaatkan oleh Meen.

Untuk sarapan pagi ini, Meen sediakan Nasi Goreng Kampung dan Plain Pancake buat anak-anak.

Sebenarnya semalam telahpun Meen sediakan Plain Pancake tetapi oleh kerana sambutan yang menggalakkan daripada anak-anak, Meen pun mengulangi resipi ini untuk hari ini.



Tengoklah Afrina, belumpun sempat mandi dan bertukar baju, dah duduk di meja makan untuk makan Plain Pancake bersama madu semalam. Sehingga tiga keping untuk mengisi perutnya yang kelaparan.

Jom Meen kongsikan resipinya.

Plain Pancake

Bahan-Bahannya:

  • 1 cawan Tepung Gandum
  • 1 cawan Susu Segar
  • 1 biji Telur
  • 1 sudu kecil Baking Powder
  • 1 sudu kecil Vanilla
  • secubit Garam
  • sedikit Mentega (pilihan) 



Cara Penyediaanya:
  1. Masukkan tepung gandum dan baking powder ke dalam mangkuk besar.
  2. Masukkan susu dan dikacau rata.
  3. Masukkan telur dan vanilla.
  4. Perasakan dengan garam.
  5. Gaulkan kesemua bahan-bahan di atas sehingga sekata. 
  6. Panaskan "Non-Stick Pan" dengan api yang paling kecil. (Non-Stick Pan yang menjadi kebanggan "MrPresident" kerana amat-amat berbaloi memilikinya walaupun tidak disokong oleh Meen ketika "MrPresident" membelinya di Giant dengan harga RM6.90. Hahaha.)
  7. Tunggu sehingga buih-buih kecil timbul di permukaan.
  8. Tadaa. Dah pun siap.
  9. Tak perlu dipalingkan pun.
  10. Mudah kan?

Plain Pancake ni boleh dimakan dengan pilihan masing-masing samada menggunakan sedikit mentega, madu ataupun "chocolate spread" yang boleh dibeli di kedai-kedai runcit berhampiran. 

Meen lebih suka makan menggunakan Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread. Emm.. Memang lazat. Bukan sahaja anak-anak suka, Meen pun suka juga. 

Buat supermom di luar sana yang mencari-cari menu buat naak-anak, bolehlah mencuba resipi ini. Memang teramat mudah dan juga menjimatkan masa dan tenaga membuatnya. Hahaha. Apa yang penting, biar anak-anak yang tentukan rasanya. 

Kepada sahabat semua, jangan pernah berhenti melakukan apa yang penting di dalam hidup kita. Walau sesekali kita kehilangan motivasi dan semangat, teruskan melangkah kerana kejayaan menanti di hadapan buat kita. Setiap manusia pasti akan diuji dan berlainan pula ujian buat kita. 

Manisnya senyum.

Selasa, 10 Mei 2016

Skon Cip Coklat, Kuew Tiow Goreng dan Cabaran Hidup

Salam.

Tarikh 11-Mei-2016.

Diam tak diam. Telahpun masuk ke pertengahan bulan Mei. Begitu cepat masa berlalu.

Bagaimana dengan hari-hari sahabat yang telah berlalu?

Meen menghadapinya seperti biasa.  Cuma kebelakangan ini, hati mudah sahaja patah barangkali. Namun syukur juga hati yang patah itu masih boleh dibaiki lagi. Meen cuba juga untuk tidak menggores hati-hati orang di sekeliling Meen. Biarlah Meen sahaja yang patah hati. Jangan mereka. Biarlah Meen sahaja yang hilang motivasi. Jangan pula mereka. Ya Allah, tabahkanlah hambaMu ini.

Jom cerita mengenai hari ini.

Pagi-pagi lagi Meen azamkan diri supaya bangun usai sahaja pukul 5 pagi. Awal? Hmm. Meen sendiri sebenarnya kecewa dengan diri Meen yang semakin sukar untuk bangun awal kebelangan ini. Pukul 4 angka yang biasanya akan Meen bangun setiap hari untuk persediaan menghadapi hari ceria. Meen harap esok dan selamanya Meen boleh mencapai sasaran untuk bangun pada pukul 4 pagi. Bukan apa, untuk bersedia menghadapi hari yang baru dengan lebih ceria. Pagi.. bukankah waktu pagi waktu yang paling pantas detiknya?

Hari ini Meen sediakan sarapan Skon Cip Coklat dan Kuew Tiow Goreng bersama Teh Strawberry.


Hari ini berazam nak sediakan lebih sedikit sarapan supaya dapatlah nanti Afrina bawa ke sekolah sebagai bekalan. Hmm, memang kalau sungguh kita berazam, akan dimudahkan urusannya. Inilah Skon Cip Coklat yang Meen sediakan untuk hari ini. Memang mudah sahaja penyediaanya.



Kuew Tiow Goreng ini pula Meen sediakan menggunakan bahan-bahan asas sahaja. Tiada penggunaan udang pun di dalamnya.



Tapi hari ini Meen terkejut juga melihat Afrina yang makan dengan seleranya. Siap bertambah pula. Bukan sahaja siap bertambah, siap hendak dibekalkan dengan Kuew Tiow Goreng untuk dibawa ke sekolah sebagai bekalan petang nanti. memang tak bolehlah anak, nanti sakit pula perut kamu.



Skon Cip Coklat ini pula diminta untuk dimakan Adlina sebaik sahaja dikeluarkan dari oven. Anak, anak. Lapar sungguh agaknya kamu ya. Tergelak sorang-sorang Meen melihatkan gelagatnya.

Skon Cip Coklat ini memang mudah untuk disediakan. Jika sekiranya sahabat dapat menguli dohnya pada malam hari sebelum tidur, itu mungkin lebih baik kerana ianya memang dapat menjimatkan masa pada waktu pagi. Jadi sekiranya doh sudah siap pada malam hari, esoknya bolehlah hanya dibakar di dalam oven selama 35-45 minit pada suhu 170'C bergantung kepada oven sahabat semua,



Buat sahabat semua, apa yang penting di dalam hidup kita haruslah diutamakan dahulu. Ini juga motivasi buat Meen sendiri. Ada masanya Meen kukuh berdiri mejalani kehidupan, tapi ada juga masanya Meen sukar sekali untuk bangun semula setelah terjatuh. Namun apa yang pasti, biar seteruk mana pun kita jatuh, bangunlah semula dan berdiri tegak. Andai kiranya tak mampu juga, ingatlah bahawa ramai yang mengharapkan kebangkitan semula kita. Ingatkan orang-orang tersayang di dalam hidup kita, dari situlah datangnya nanti kekuatan itu.

Selamat menjalani kehidupan yang penuh cabaran sahabat.

"Hidup memang bukan mudah, dan kerana payahnyalah kehidupan itu, aku dan engkau menjadi lebih bermakna" kata Faisal Tehrani.

Jom Kita Bangkit Semula!

Manisnya senyum.

Khamis, 21 April 2016

Affan, Adlina dan Motor Besar

Salam.

Tarikh 22-April-2016.

Entah kenapa agaknya mata ini tak boleh nak dipejamkan. Mungkin kerana selepas tertidur sebentar tadi, hilang juga rasa mengantuk.

Siang tadi, Adlina dan Affan bermain bersama-sama. Seperti biasa, Adlina memang pandai melayan adiknya bermain. Kadang-kadang geli hati juga melihatkan telatah mereka berdua.

Hari ini mereka bermain motor-motor pula. Seorang duduk di hadapan manakala seorang lagi membonceng di belakang.


Affan membawa motor manakala kakanya duduk di bahagian belakang. Motor hijau ini sebenarnya dibelikan untuk Adlina, dan memang ianya kepunyaan Adlina. Tetapi Affan memang amat berminat akan motor ini. Sesekali dilihat mereka tertawa bersama. 


Adlina memang pandai melayan adiknya. Lihat saja telatahnya yang mengalah setiap kali adiknya ingin menaiki motor besarnya itu.

Mujurlah juga ada anak yang dapat menghiburkan hati di kala diri perlukan kekuatan.

Semoga sahabat juga diberikan kekuatan untuk menempuhi hari-hari yang bakal tiba yang semakin mencabar. 

Cuaca yang semakin panas, hujan yang turun sedikit-sedikit yang menyebabkan pula pembiakan nyamuk semakin cepat, jerebu dan strok haba.

Tabahlah menghadapinya.

Manisnya senyum.

Selasa, 19 April 2016

Tempahan Semperit Cinta Dibuka Sekarang

Salam.

Tarikh 20-April-2016.






Semperit memang menjadi biskut raya yang disukai ramai sejak zaman berzaman.

Jadi apa kata sahabat mencuba Semperit Cinta hasil buatan tangan Meen sendiri untuk raya yang bakal tiba nanti, atau boleh juga sahabat menjadikan Semperit Cinta ini sebagai buah tangan atau dijadikan hadiah buat insan-insan teristimewa dalam hidup sahabat seperti ibu, ibu mertua, adik-beradik atau sahabat handai.

Tempahan untuk Semperit Cinta "homemade" dan "homebake" ini Meen buka sekarang.

Bagaimana untuk membuat tempahan?

Boleh cuba hubungi/PM/WhatsApp.


H/P: 019-220 2771



Kenapa sahabat harus mencuba Semperit Cinta?
  • Homemade dan homebake oleh Meen sendiri
  • Harga yang sangat berpatutan di pasaran 
  • Hanya RM30/balang
  • Fresh from oven
  • Menggunakan mentega sepenuhnya bukan merjerin
  • Sesuai dijadikan hadiah terutama buat ibu tercinta
  • Tiada bahan pengawet


Jadi, apa tunggu lagi? Jom cuba dulu.

Hubungi nombor 019-220 2771.

Cepat sebelum tempahan ditutup.

Manisnya senyum.

Jumaat, 15 April 2016

6 Tips Kurangkan Pengambilan Gula

Salam.

Tarikh 16-April-2016.

Dunia kini semakin mencabar. Bukan dunia sebenarnya yang mencabar. Tetapi penghuni-penghuni dunialah yang mengakibatkan keadaan menjadi semakin mencabar.

Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi. Perubahan cuaca dan iklim dunia yang semakin tidak menentu. Kepelbagaian penyakit-penyakit berjangkit atau tidak, yang bakal menyerang sesiapa sahaja yang mungkin berisiko untuk menghidapnya.

Risau bukan? Anak- anak haruslah dilatih supaya lebih peka terhadap persekitaran dan kesannya terhadap sistem imunisasi tubuh badan manusia, supaya badan mereka kekal cergas dan sihat dalam menjalani jadual harian mereka.

Tabiat yang paling sukar untuk ditinggalkan atau juga dikurangkan sahaja mungkin mengenai pengambilan gula di dalam diet seharian.




Mengapa kita perlu mengurangkan pengambilan gula di dalam diet harian?

Pengambilan gula yang berlebihan boleh mendedahkan seseorang kepada pelbagai risiko seperti karies gigi, obesiti atau kegemukan dan komplikasinya iaitu darah tinggi, penyakit diabetes atau kencing manis dan juga penyakit jantung.


Di mana sebenarnya terdapat gula?
Gula boleh didapati dalam bentuk gula mentah, madu, gula semulajadi dan gula tersembunyi.


Mungkin mudah untuk kita faham mengenai gula mentah dan madu. Tetapi apa pula gula semulajadi dan gula tersembunyi?



Gula semulajadi boleh didapati melalui buah-buahan, sayur-sayuran berkanji dan susu.




Manakala gula tersembunyi pula boleh didapati di dalam makanan yang diproses, hasil tenusu, kuih muih tradisional dan minuman bergas atau kordial.

Adakah sudah terlambat?
Tidak pernah terlambat untuk memulakan sesuatu perkara yang baik.

6 Tips Kurangkan Pengambilan Gula.
  1. Amalkan minum air kosong di antara waktu makan utama. 
  2. Minum kopi atau teh tanpa gula atau hanya sedikit gula.
  3. Jika anda memilih untuk membeli minuman berkordial atau bergas, pilih air berkordial jenis buah tanpa gula.
  4. Kurangkan pengambilan makanan manis di antara waktu makan. 
  5. Jika anda penggemar makanan snek, pilihlah buah-buahan dan sayur-sayuran segar, atau kerepek sebagai ganti.
  6. Elakkan mengambil bijiran dengan gula tambahan.

Peranan ibu dalam pengawasan pengambilan gula untuk kanak-kanak.
  1. Elakkan mencampur gula ke dalam penyediaan susu bayi.
  2. Jangan biarkan bayi tertidur dengan botol susu di mulut.
  3. Elakkan mencelup puting susu dengan gula atau manisan.
  4. Kurangkan memberi makanan bergula kepada anak.
  5. Pilih buah-buahan dan makanan berkhasiat sebagai snek jika perlu.
  6. Untuk anak remaja, gunakan susu segar atau susu rendah lemak bagi menggantikan susu pekat manis.

Manisnya senyum.

Kredit to google.

Khamis, 14 April 2016

4 Langkah Mengejar BMI Ideal Bayi

Salam.

Tarikh 14-April-2016.



Semalam Meen bawa Affan ke klinik untuk pemeriksaan berkala seperti biasa pada usia 10 bulan.

Meen mengharapkan agar berat badan dan ketinggian Affan semakin bertambah dan BMI Affan akan semakin meningkat.

Namun kali ini, BMI Affan menurun dengan mendadak.

1. Lilitan Kepala

2.Berat

3. Tinggi/Panjang

4. BMI


Terdetik di hati Meen, apa yang silap dan mungkin juga tidak Meen berikan perhatian dalam tumbesaran Affan.

Lalu, Meen dapat merumuskan bahawa tindakan drastik harus diambil oleh Meen kali ini,

Kesimpulan yang dapat Meen senaraikan ini akan Meen pantau lagi sehingga ke tarikh temujanji Affan yang seterusnya pada bulan Jun nanti.

Langkah drastik untuk menambahkan berat badan, ketinggian dan BMI Affan harus Meen ambil segera.

4 Langkah Mengejar BMI Ideal Bayi.

1. Menambahkan kekerapan hidangan.
 
    Contoh Jadual Pemakanan Harian Affan
    Bangun tidur : ASI
    0800 hrs : Bubur Manis
    1000 hrs : ASI dan Buah-Buahan 
    1200 hrs : Bubur Nasi Lengkap Sayuran dan Protein
    1400 hrs : ASI
    1600 hrs : Biskut atau Snek Bayi
    1800 hrs : Bubur Nasi Lengkap Sayuran dan Protein
    2000 hrs : ASI

2. Menambahkan hidangan yang tinggi kandungan nutrisi.

3. Memberikan makanan dalam suasana yang selesa tanpa sebarang gangguan lain
    terutama gangguan televisyen.

4. Sebaiknya dicatatkan jadual hidangan makanan anak, untuk lebih berkesan supaya dapat
    diketahui kegemaran makanan hidangan anak.

Semoga Meen dapat meningkatkan BMI Affan kepada yang lebih baik selepas ini.

Manisnya senyum.

Adlina dan Nasi Goreng Udang

Salam.

Tarikh 14-April-2016.

Hari ini Meen mula memikirkan bagaimana lagi supaya dapat diberikan ruang untuk mula mengatur langkah semula.

Banyak pekara yang harus direncanakan untuk melaksanakan matlamat satu persatu.

Pengurusan masa amat penting dalam mengemudikan dan menguruskan rumahtangga kini.

Bergelar "Stay at Home Mom" bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan sekiranya tidak dirancang teliti, banyak juga perkara yang tidak akan dapat dilaksanakan.

Hari ini Meen mengambil jalan pintas untuk memasak nasi goreng.

Nasi Goreng Udang.

Adlina dan Udang - Berpisah Tiada

Mujur juga Adlina amat menggemari udang. Jadi mudahlah juga untuk mengumpan dia makan nasi goreng yang Meen masakkan khas untuknya.

Nasi goreng udang yang menjadi resipi kebiasaan bagi Meen bilamana Meen akan menambahkan senarai tugasan dalam jadual harian Meen.

Cuma kali ini, lobak merah digantikan dengan kobis yang dihiris nipis-nipis.

Manisnya senyum.

Selasa, 5 April 2016

5 Tips Mudah Menyediakan "Cookies" Sedap

Salam.

Tarikh 5-April-2016.

Ramadhan bakal menjelang tiba.

Syawal pula bakal menyusul.

Apa kata tahun ini, kita mencuba untuk menyediakan sendiri "cookies" atau biskut-biskut raya untuk hidangan tetamu di rumah.

Bukankah lebih ekonomi?

Bagaimana untuk menyediakan "cookies" yang sedap?

Jom Meen kongsikan rahsianya.





5 Tips Mudah Menyediakan "Cookies" Sedap

1. Gunakan bahan-bahan yang berkualiti dan bermutu tinggi kerana ini akan menghasilkan
      rasa yang enak kepada "cookies".

2. Sukat bahan-bahan masakan dengan tepat.

3. Rehatkan doh seketika di dalam peti sejuk selepas selesai mengadun terutamanya untuk
      "cookies" yang akan diterap.




4. Jangan letakkan "cookies" rapat-rapat di dalam dulang pembakar kuih dan jarakkan 1"
      semasa meletakkan "cookies".

5. Jangan gunakan telur yang masih lagi sejuk sekiranya telur disimpan di dalam peti sejuk,
      biarkan ia seketika sehingga bertukar ke suhu bilik.


Sekiranya anda tidak yakin dengan kebolehan anda, apa kata cuba 1 jenis "cookies" dahulu untuk tahun permulaan ini.

Meen ucapkan selamat mencuba.

Manisnya senyum.

Rabu, 30 Mac 2016

7 Tips Mudah Memasak Bila Ada Anak Kecil

Salam.

Tarikh 31-Mac-2016.

Apabila ada anak kecil, kadang kala memasak di dapur memerlukan perancangan yang teliti terutama daripada pengurusan masa. Waktu untuk anak kecil tidur, mungkin juga adalah waktu yang tepat untuk mencuri-curi memasak di dapur sebelum lenanya terganggu. Tapi, ada juga caranya untuk memudahkan lagi kerja memasak di dapur supaya jadual makan tetap sahaja mengikut waktu.

Affan the Explorer

7 Tips Mudah Memasak Bila Ada Anak Kecil 

1. Mengasingkan Lauk Pauk Mentah
Lauk pauk yang dibeli daripada pasar hendaklah terus dibersihkan dan sedia untuk diasingkan ke dalam bekas-bekas kecl yang berasingan. Apabila dapat mengasingkan lauk pauk mentah ke dalam amaun yang lebih kecil, mudah untuk menyahbekukan. Ini memudahkan proses untuk memasak kerana tidak mengambil masa yang lama untuk menyahbeku.

2. Kisar Bawang dan Cili 
Potong bawang merah, bawang putih, halia dan cili paling baik pada awal bulan untuk stok satu bulan. Jadi mudah apabila hendak memasak.

3. Gunakan Gunting Menggantikan Pisau
Penggunaan gunting menggantikan pisau lebih menjimatkan masak memasak terutamanya di dalam proses menyiang ikan atau udang dan sayur berdaun.

4. Masak Satu Lauk Lengkap
Untuk menjimatkan masa di dapur, cuba memasak dengan hanya satu lauk seperti suhun masak air, masak kicap, tomyam, paprik atau masak lemak sayur.

5. Ulam Menggantikan Sayur
Ulam boleh menggantikan sayur sekiranya anak kecil sudah menangis atau meragam. Boleh juga digantikan dengan salad atau timun mengikut kesesuaian lauk yang dimasak.

6. Peralatan Memasak dan Hidang 
Untuk lebih menjimatkan masa, boleh juga digunakan peralatan memasak yang mesra juga digunakan sebagai peralatan untuk menghidang seperti periuk kaca tahan panas. Cuma lapkan sahaja kesan-kesan comot memasak pada periuk sebelum diangkat ke meja makan.

7. Rancang Menu Untuk Seminggu
Mungkin sukar juga untuk merancang menu untuk seminggu, tetapi percayalah apabila dipraktikkan amalan ini, memang memudahkan malah menjimatkan masa.

Afrina at 4 Years Old

Manisnya senyum.

Khamis, 24 Mac 2016

Asam Rebus Bendi Yang Mudah dan Menjimatkan Masa

Salam. 

Tarikh 25-Mac-2015.

Hari Jumaat biasanya merupakan hari yang paling singkat bagi Meen. Cepat betul masa berlalu meninggalkan kita. 

Jadi, pada hari ini, Meen bercadang untuk masa yang mudah-mudah sahaja. Memang kebiasaannya pun, Meen hanya akan memasak (atau boleh dikatakan pandai memasak) yang mudah-mudah sahaja.

Jom Meen kongsikan resipi hari ini. 


Asam Rebus Bendi

Asam Rebus Bendi

Bahan-Bahan Untuk Asam Rebus Bendi
Bahan-Bahannya:
  • Bendi 
  • Sebuku Lengkuas
  • 1 biji Bawang Merah
  • 1 inci Kunyit
  • 5 batang Cili Kering
  • 1 inci Halia
  • 1 sudu besar Udang Kering
  • 1 inci Belacan
  • 3 kepin Asam Keping

Cara Penyediaanya:
  1. Sediakan bendi, bersihkan dan dipotong-potong.
  2. Jerang air di atas api.
  3. Setelah mendidih, masukkan bahan-bahan tadi kesemua sekali kecuali cili kering.
  4. Biarkan mendidih semula.
  5. Masukkan bendi.
  6. Kemudian barulah dimasukkan cili kering (Meen biarkan cili kering tanpa dipotong-potong kerana tak mahu bijinya bersepah).
  7. Perasakan dengan garam.
  8. Sedia untuk dihidang.




Selain mudah untuk disediakan, ianya juga menjimatkan masa kerana mengambil masa yang singkat. Bolehlah diselitkan di dalam jadual harian hari ini untuk melaksanakan tugasan yang lain.

Asam Rebus Bendi ini juga sihat untuk dimakan seisi keluarga.

Selamat mencuba.

Manisnya senyum.