Rabu, 17 Februari 2016

Gulai Kuning Telur Ayam

Salam.

Tarikh 18-Februari-2016.

Hari ini Meen perlu cepat-cepat memasak bagi memastikan Afrina dapat segera mengalas perut dengan sepinggan nasi kerana pada hari ini Afrina akan ke sekolah kebangsaan daripada rumah.

Sekolah agama akan tamat waktu persekolahan pada pukul 10.45 pagi. Jadi, pada jam 11.00 pagi nanti, Meen perlu siap memasak hidangan tengahari.

Memikirkan apa yang patut dimasak supaya boleh selesai memasak dengan cepat, sambil tangan segera memandikan Affan.

Walaupun mata masih lagi terasa bengkak kerana melayan kerenah Affan yang tidak lena tidur semalam, Meen perlu cepat dan pantas bagi memastikan Afrina boleh makan nasi sebelum ke sekolah kebangsaan nanti.

Lalu, datanglah idea untuk memasak gulai kuning telur yang tidak pedas supaya boleh pula dinikmati oleh anak-anak.

Jom Meen kongsikan resipi mudah ni.



Gulai Kuning Telur Ayam.

Bahan-bahannya:

  • 6 biji telur ayam
  • 500 gm santan pekat
  • 3 inci kunyit
  • 1 ulas bawang merah (agak besar saiznya)
  • 1 ulas bawang putih (agak besar saiznya)
  • 7 biji cili api
  • 1 cm belacan
  • 1 keping asam keping
  • 1 helai daun kunyit
  • 2 batang serai
  • Garam 

Cara Penyediaannya:
  1. Tumbuk dan pecah-pecahkan sedikit serai menggunakan lesung batung.
  2. Tumbuk lumat kunyit, bawang merah, bawang putih, cili api dan belacan. 
  3. Letakkan di dalam periuk kesemua bahan tumbuk tadi, 
  4. Masukkan daun kunyit yang di siat-siat, serai yang ditumbuk sedikit tadi, dan asam keping. 
  5. Di dalam kuali, masukkan separuh air dan tunggu hingga mendidih.
  6. Selepas air mendidih, masukkan sebiji telur dan tunggu sehingga telur tadi agak mengeras dengan api kecil. 
  7. Telur yang sudah mengeras tadi dikeluarkan dan proses dilakukan untuk kesemua telur satu persatu. 
  8. Selepas selesai, ambil lebihan air bagi memasak telur tadi dan dimasukkan ke dalam periuk berisi bahan tumbuk tadi.
  9. Tunggu sehingga air mendidih, dan masukkan santan. 
  10. Kacau seketika sehingga mendidih dan dimasukkan telur. 
  11. Perasakan dengan sedikit garam.
  12. Biar seketika dan sedia untuk dihidang. 
  13. Selamat mencuba.

Manisnya senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan