Tarikh 2-Februari-2016.
Kenapa kita masih perlu menabung bila kita masih lagi dalam keadaan terdesak?
Terdesak yang bagaimana? Bagaimana baru dikatakan kita sudah terdesak?
Terdesak itu sebenarnya kita yang tentukan. Tetapi, apabila pasangan kita tiba-tiba terputus punca pendapatan tetap, dan masih lagi mencari peluang pekerjaan, itu memang sudah cukup untuk menyatakan bahawa diri kita memang berada di dalam keadaan terdesak.
Kepada sahabat yang pernah merasai atau sedang menghadapi keadaan ini, tentu faham keadaan terdesak yang bagaimana yang Meen maksudkan.
Tetapi kepada sahabat yang tidak pernah mengalami situasi ini, cuba-cubalah memahami keadaan ini, kerana hidup kita ini tidak kekal selamanya. Terkadang kita di atas, terkadang kita di bawah, mungkin juga tersungkur jatuh. Jadi amat penting untuk kita sediakan payung dahulu sebelum hujan.
Namun, banyakkanlah bersabar dan bertenang. Cubalah cari jalan dan ikhtiar sehabis mungkin, untuk kita keluar daripada keadaan yang terdesak itu.
Sesudah ada kepayahan, pasti ada kesenangan. Namun, kesenangan tidak pula datang bergolek sekiranya tiada usaha daripada kita.
Jadi, bagaimana untuk kita menabung bila keadaan diri kita di dalam keadaan terdesak?
Tips #1 Jadilah Pembeli Bijak
Bandingkan harga barang setiap kali kita membeli barang keperluan, dan belilah barang dengan harga termurah tetapi berkualiti atau setanding dengan harga yang kita bayar. Contohnya kadang-kadang, lampin pakai buang bayi berbeza 1 ke 3 ringgit di kedai yang berlainan.
Tips #2 Simpan Baki
Simpan baki di dalam tabungan khas supaya kita boleh simpankan di dalam akaun simpanan kita sebagai bekalan kecemasan apabila tiba pertengahan bulan. Biasanya, Meen akan menggandingkan bulan sebelum dan bulan semasa untuk berurusan di kaunter kerana pada pertengahan bulan, jumlah pengunjung yang kana berurusan di kaunter adalah separuh daripada biasa.
Tips #3 Menabung Dengan Matlamat
Apabila anak-anak sudah bersekolah, mereka kebiasaannya akan menyimpan hasrat untuk pergi bercuti bersama keluarga. Jangan pandang remeh hasrat baik mereka ini, kerana inilah salah satu cara untuk kita merapatkan hubungan kekeluargaan kita setelah setahun mereka bersekolah. Hubungan inilah yang membuatkan mereka akan lebih menghargai erti sebuah kekeluargaan.
Jadi, simpanlah matlamat untuk membawa anak-anak dan keluarga kita bercuti walaupun hanya di dalam Malaysia. Asingkan tabungan untuk bercuti supaya niat baik kita ini, dapat kita tunaikan kerana niat yang baik itu sudah pasti akan diiringi dengan hasil yang baik. Sekiranya kita berhasrat untuk ke luar negara, tetapi tidak berjaya, paling tidak dapat juga kita bercuti di dalam Malaysia sahaja. Apa yang penting adalah kualiti masa yang kita luangkan bersama keluarga.
Tips #4 Berhenti Bersahabat Dengan Kad Kredit
Percayalah, lebih banyak keburukan berbanding kebaikan apabila kita bersahabat dengan kad kredit. Berhenti bersahabat dengan kad kredit. Tiada kompromi.
Tips #5 Buatlah Bajet dan Kira-Kira
Walaupun bajet biasanya dipandang remeh oleh sesetengah orang, namun bajetlah penyelamat buat kita dan ia boleh menjadi sahabat kita yang paling banyak bermanfaat. Buat bajet bulanan dan tetapkan berapa bajet keluarga kita untuk seminggu. Tetapkan bajet bulanan tetap dan asingkan terlebih dahulu di dalam kira-kira kita nanti.
Tips #6 Komited
Walaupun komited merupakan tips terakhir, namun percayalah komited dengan apa yang kita rancangkan adalah kunci kejayaan untuk kita keluar daripada keadaan yang 'terdesak' itu. Sikap merupakan punca kejayaan kita yang paling utama. Komited dan berdisiplin di dalam berbelanja dan ikutlah segala yang telah kita rancangkan dan bincangkan bersama pasangan. Pasti ada perubahan buat diri kita dan anak-anak.
Semoga apa yang Meen kongsikan di sini, dapat menjadi panduan buat sahabat semua. Walaupun apa yang kita usahakan hanya kecil di pandangan mata orang lain, percayalah usaha sikit-sikit lama-lama hasilnya pasti jadi bukit.
"Hidup dan nasib roler koster roler koster
Susah dan senang bersilih ganti
Bila-bila boleh naik dan turun
Bila-bila noleh naik dan turun
Apokalips"
Di samping itu, jangan lupa memohon kepada yang maha esa, untuk memudahkan urusan kita dalam apa jua urusan, dan supaya dilapangkan rezeki kita dengan niat supaya dapat pula kita membantu sahabat yang memerlukan.
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:”Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?[2]. Surah Al-’Ankabut, Ayat 2.
Gambatte ooo!
Semoga Berjaya.
Manisnya senyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan