Jumaat, 18 Mac 2016

Siput Sedut Masak Lemak Cili Api

Salam.

Tarikh 18-Mac-2016.

Hari ini "MrPresident" membelikan siput sedut di Pasar Pudu.

Menjadi kebiasaan apabila handak memasak siput sedut, yang menjadi ketua chef nya sudah tentulah "MrPresident". Meen hanya menjadi pembantu chef sahaja. Tapi hari ini Meen diminta oleh "MrPresident" untuk memasak siput sedut yang menjadi kegemarannya ini.

Mudah sahaja rupanya.

Siput Sedut Masak Lemak Cili Api 

Bahan-Bhan Siput Sedut Masak Lemak Cili Api
Bahan-Bahannya:

  • 1 kg siput belitung 
  • 500 ml santan pekat
  • 2 inci kunyit hidup
  • 1 genggam cili api 
  • 2 keping asam keping 
  • 2 batang serai (dititik)
  • 3 ulas bawang puth
  • 1 ulas bawang merah 
  • 1 inci (atau kurang) halia
  • 1 helai daun kunyit (dicarik-carik)
  • minyak untuk menumis
  • garam penambah rasa

Cara Penyediannya:
  1. Bersihkan siput belitung terlebih dahulu. Meen gunakan alat yang seperti di atas untuk membuang hujung ekor siput. Bertabahlah kerana proses ini memang mengambil masa sekiranya kita tak biasa membuatnya. Tapi penggunaan alat ini memang melancarkan proses pembersihan. Basuh berkali-kali siput sehingga bersih daripada lumpur. Pernah Meen lihat di televisyen, seorang pengusaha restoren yang popular dengan masakan siput sedut ini memberitahu, cara mudah untuk membersihkan siput sedut adalah dengan menggunakan hampas kelapa. Tapi bagi Meen yang hanya membeli santan yang sudah siap diperah sahaja, cukuplah dengan hanya menggunakan air berkali-kali.  
  2. Setelah siput bersih, sediakan bahan-bahan masakan seperti di atas. Hanya gunakan pengisar untuk cepat dan mudah. Tambahan lagi sekiranya masih ada anak kecil, gunakan sahaja pengisar. Yang penting, kita siap memasak dengan cepat nanti.
  3. Tumis bahan kisar tadi. Masukkan serai, asam keping dan daun kunyit. 
  4. Setelah ditumis sempurna, masukkan santan dan setengah cawan air. 
  5. Setelah menggelegak, masukkan siput sedut tadi.
  6. Masak dengan api sederhana. 
  7. Perasakan dengan garam.
  8. Sedia untuk dihidang.
  9. Selamat mencuba.


Siput Sedut Masak Lemak Cili Api


Tersenyum Meen melihat "MrPresident" makan dengan seleranya setelah balik daripada solat Jumaat. Itu belum lagi melihatkan Adlina yang beria-ia menyedut siput sedut walaupun agak pedas juga Meen memasaknya. Mungkin selera "MrPresident" yang diwarisinya. 

Bolehlah dicuba lagi selepas ini.

Manisnya senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan