Hari ini, Meen termenung memikirkan apa yang patut dimasak. Memikirkan kekangan masa untuk berada lama di dapur.
Affan sudahpun 3 hari demam. Meen harap Affan cumalah demam nak tumbuh gigi.
Sepanjang kelahirannya, inilah pertama kali Affan demam. Alhamdulillah, memang tidak sukar untuk menjaga Affan. Mungkin itulah perbezaan menjaga bayi perempuan dan bayi lelaki.
Meen akui, hingga kini, Meen masih lagi belum boleh mengendalikan kerja-kerja rumah dengan baik dan cemerlang. Menyedari hakikat ini, Meen cuba membayangkan ibu Meen yang dahulunya surirumah sepenuh masa menguruskan 7 orang anak-anaknya tanpa bantuan pembantu rumah pun. Fuh, memang tak menang tangan rasanya. Terima kasih Mak.
Lekas mencuri-curi masuk ke dapur, Meen mula mencapai sayur-sayuran yang boleh dimasak. Ternampak sawi yang masih segar dengan lebihan taugeh semalam. Pantas sahaja membuat keputusan untuk memasak sawi masak lemak.
Sawi Masak Lemak
Bahan-Bahannya:
- Sawi seikat
- Taugeh
- Santan
- Bawang merah
- Sedikit air
Cara-Caranya:
- Siang sawi dan bersihkan taugeh, basuh bersih dan selawat. Toskan.
- Hiris sebiji kecil bawang merah.
- Masukkan santan ke dalam periuk dan masukkan bawang merah tadi.
- Setelah mendidih, bolehlah dimasukkan sawi, diikuti taugeh tadi.
- Sedia untuk dihidang.
- Selamat mencuba.
Sawi Masak Lemak
Kemudian, ternampak pula ikan patin yang memang menjadi kegemaran Meen sekiranya digoreng. Ikan yang terlebih dahulu sudah dibersihkan Meen, segera dikunyit dan kemudian digoreng.
Patin Goreng
Alhamdulillah, misi hari ini tercapai. Sebentar lagi setelah Affan lena semula, barulah boleh Meen melayan puteri-puteri kesayangan Meen makan. Mereka memang gemar disuap, memang bertambah selera mereka.
Apa yang Meen nak kongsikan, bukan mudah untuk menjadi suri rumah ini. Pada pandangan Meen, inilah 'the real job'. Apa yang penting, setiap perkara atau tindakan itu, lebih baiklah kita merancang terlebih dahulu.
Manisnya senyum.