Salam.
Tarikh 19-Mei-2016.
Semalam Meen ke Klinik Kesihatan di Cheras kerana Afrina mengadu gigi depannya sakit dan hampir sahaja tercabut barangkali. Mengenangkan sudah hampir dua minggu Afrina tidak berapa lalu untuk makan, Meen pun berkeras membawanya ke Klinik Pergigian di Cheras supaya doktor gigi boleh mencabut giginya yang sakit itu.
Sesampainya di klinik, seperti biasa Meen mendaftar dan menunggu giliran untuk dipanggil. Tidak lama kemudian, "MrPresident" pun sampai bersama Adlina.
Sebaik sahaja giliran sampai, Meen meminta "MrPresident" menemani Afrina untuk berjumpa doktor gigi. Tak sanggup juga rasanya hendak melihat doktor mencabut gigi Afrina dan tak sanggup juga rasanya untuk melihat dia menahan kesakitan.
Sepanjang Afrina dan "MrPresident" di dalam bilik berjumpa doktor, Meen di luar sibuk pula melayani seorang makcik yang menggelarkan dirinya "nenek" kepada Adlina. Asyik sahaja dia mengusik Adlina supaya boleh diajak berbual dengannya.
Dalam pada sedar tak sedar, "nenek" itu pun meminta izin untuk beransur pulang, Afrina dan "MrPresident" pun keluar. Tercabutlah sudah giginya yang sudah longgar itu. Hmm... akhirnya selesai juga satu hal. Semoga Afrina dapat menjaga dengan baik gigi kekal yang bakal tumbuh nanti.
Terasa terlalu singkat masa melihat Afrina membesar.
Kini Afrina sudahpun masuk ke sekolah rendah dan di Tahun 1. Meen berdoa supaya Afrina dapat selalu menyesuaikan diri dengan persekitaran di luar. Maklumlah, sebagai anak sulung di dalam keluarga ini, Afrina tidakpun mempunyai rujukan lain selain dari kami sebagai ibubapa. Adiknya pula dibezakan empat tahun darinya. Meen sentiasa berdoa semoga Afrina diberikan kekuatan untuk menempuhi apa jua cabaran dengan tenang dan bijaksana.
Gambar yang diambil pada Mei 2010 ini ketika Afrina berusia enam bulan. Memang comel sangat. Bukan mudah pula untuk menempuhi hari-hari awal kelahiran bersama Afrina. Sedang Meen berusaha untuk bersalin melalui kaedah normal, tiba-tiba Meen dikejutkan dengan kehadiran doktor yang semakin lama semakin ramai di dalam bilik bersalin. Akhirnya, "MrPresident" diminta untuk meninggalkan Meen dan sejurus kemudia, Meen diminta menandatangan surat kebenaran untuk menjalani pembedahan sambil Meen masih lagi dalam posisi untuk bersalin normal.
Usai sahaja Meen selesai menandatangani surat kebenaran, doktor terus sahaja menolak Meen masuk ke dalam bilik pembedahan sambil menahan kepala Afrina supaya jangan tidak keluar melalui jalan normal. Sesampainya Meen di bilik pembedahan, doktor terus memberikan bius untuk satu badan dan Meen langsung tidak sedarkan diri.
Gelap.........................................................................................................................................................
Afrina yang dilahirkan melalui kaedah "emergency ceasearean" akibat daripada kejadian "cord prolapse", terus dimasukkan ke wad ICU sebaik dilahirkan. Afrina juga tidak menangis ketika dilahirkan kerana pada ketika itu, Afrina telahpun lemas beberapa ketika dan mengakibatkan oksigen tidak dapat sampai ke otak.
Kelahiran Afrina bagaikan sebuah drama di dalam hidup Meen. Manakan tidak, pengalaman pertama mengandung dan melahirkan, tidak memberikan Meen pengetahuan dan pengalaman yang cukup untuk menghadapinya. Namun, disebabkan sifat keibuan yang ada pada diri, Meen kuat membisikkan di dalam hati bahawa Meen sendiri harus kuat supaya kekuatan itu dapat juga disampaikan kepada Afrina.
Masih lagi Meen ingat, ketika tersedar daripada mimpi, setelah ditolak masuk semula k dalam wad tanpa kehadiran anak di sisi, membuatkan Meen terpinga-pinga dan tertanya-tanya di manakah Afrina? Jam pada waktu itu menunjukkan pukul 3 pagi. Pertanyaan Meen yang disampaikan kepada jururawat yang bertugas pada ketika itu tidak diendahkan. Remuk. Begitulah apa yang Meen rasakan, ketika pelbagai persoalan di benak fikiran bermain-main di dalam kepala. "MrPresident" juga tiada di sisi untuk menyampaikan sebarang perkhabaran.
Kesengsaraan jiwa Meen ditambah lagi apabila pada keesokan paginya jam 10, doktor bertugas memaklumkan bahawa kebarangkalian Afrina untuk meneruskan kehidupan adalah 50-50. Ketika Meen masih belum lagi dapat bertemu dengan "MrPresident" atau berhubung dengan saudara terdekat, Meen terpaksa menerima perkhabaran dari doktor dengan 1001 kesuraman. Ketika itu, memang Meen meminta Yang Maha Esa mengambil sahaja nyawa Meen untuk digantikan dengan zuriat Meen yang belum lagi Meen ketemukan.
Menjelangnya tengahari, barulah melangkah masuk "MrPresident" dengan wajah yang penuh pengharapan. Berharap supaya Meen dapat bersabar dengan segala ketentuan dan takdir Ilahi. "MrPresident" memberikan Meen perkhabaran tentang apa yang dilaluinya bersama zuriat kami sepanjang semalam. Mendengarnya, Meen sebak. Tiada kata-kata yang mampu untuk menzahirkan kesedihan itu.
"MrPresident" terus bertanyakan kepada Meen. "Meen dah sedia nak tengok anak kita?". Meen terus mengangguk. "MrPresident" terus sahaja mendukung Meen ke atas kerusi roda untuk dibawa ke wad ICU berjumpa cinta hati kami.
Bertentang mata dengannya, seolah-olah memberikan Meen kekuatan dan semangat. Itulah Afrina.
Afrina, maafkan Mama.
Semoga dapat Mama buangkan sifat marah Mama dan digantikan dengan sifat yang kaya dengan lemah lembut.
Mama sayang Afrina!
Afrina kekuatan Mama.
Manisnya senyum.