Rabu, 24 Februari 2016

10 Makanan Untuk Merangsang Susu Badan

Salam.

Tarikh 25-Februari-2016.

Bulan Februari hampir ke penghujungnya. Apa agaknya yang telah sahabat semua lalui?

Apa pun juga yang kita lalui, hadapilah dengan tenang dan jangan lupa untuk memohon petunjuk daripada Ilahi. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk melalui hidup ini dengan penuh pengabdian kepadaNya.

Affan My Son

Bercerita mengenai anak. Pada 3 Mac nanti, Affan bakal berusia 9 bulan. Terasa begitu pantas betul masa berlalu. Affan eksklusifnya diberikan susu badan sepenuhnya kerana Meen bercuti tanpa gaji sekarang. Sehinggalah nanti Meen akan masuk bekerja semula, Affan akan diberikan susu formula oleh pengasuhnya. Tetapi bila bersama dengan Meen, sudah tentulah tiada pilihan yang lain selain yang terbaik buat Affan iaitu susu ibu.

Jadi, bagaimana untuk ibu merangsang penghasilan susu supaya anak lekas kenyang dan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menyusu?

Jom Meen kongsikan 10 makanan yang boleh dimakan oleh sahabat bergelar ibu untuk merangsang penghasilan susu.

Credit to Google

10 Makanan Untuk Merangsang Penghasilan Susu Badan

  1. Kalsium - Susu dan hasil tenusu, ikan yang tulangnya boleh dimakan (seperti sardin dalam tin, ikan bilis), kacang, dan hasil kacang termasuk dhal, tauhu dan tempe, sayuran seerti bayam, cekur manis, sawi, daun ubi, kailan dan brokoli, produk diperkaya dengan kalsium seperti susu berkalsium tinggi, yogurt, bijiran, biskut dan nasi.
  2. Zat Besi - Kerang, ikan bilis, hati, daging tanpa lemak, ayam, telur, kacang kuda, tauhu kering pucuk paku, peria, bayam dan kangkung.
  3. Iodin - Makanan laut seperti kerang, kupang, ikan air laut, telur, daging, susu, kekacang, sayuran.
  4. Zink - Daging, ikan, kerang, kekacang dan bijirin.
  5. Folat - Sayuran berdaun hijau, kacang bendi, asparagus, kekacang, hasil bijirin dan hati.
  6. Vitamin A - Hati, susu, telur, buah-buahan berwarna kuning dan merah (magga, betik), sayuran berwarna kuning dan merah (lobak, labu), dan sayuran berdaun hijau.
  7. Vitamin B1 - Ragi, kekacang, produk yang diperkaya seperti roti, bijirin dan biskut.
  8. Vitamin B2 - Kekacang (kacang kuda, soya, kacang merah dan kacang hitam), daging dan telur ayam.
  9. Vitamin B3 - Daging, hati, ikan bilis, kekacang, bijian penuh dan tepung gandum mil penuh.
  10. Vitamin E - Minyak sayur, kacang dan bijirin.
Credit to Google

Semoga sahabat dapat mempelbagaikan pengambilan makanan berkhasiat sehari-hari. 

Tetapi untuk lebih mudah, makanlah kurma kerana di dalamnya memang terkandung banyak khasiat buat kita.

Manisnya senyum.

Selasa, 23 Februari 2016

Semperit Cinta Mudah dan Ringkas

Salam.

Tarikh 24-Februari-2016.

Hari ini Meen teringin pula hendak mengulangi membuat Semperit Cinta semasa ingin menyambut kedatangan hari raya puasa pada tahun 2015.

Selama ini, memang tak pernah langsung Meen terfikir untuk menyediakan sendiri biskut dan kuih raya untuk sambutan hari raya. Maklumlah, semuanya ditunjuk-tunjuk sahaja.

Tetapi selepas "MrPresident" membawa pulang kuih siput yang dibuat secara gotong royong bersama sahabatnya yang sedap sehingga tidak berhenti-henti mengunyahnya, Meen pun teringin juga hendak membantu untuk menyediakan biskut dan sajian untuk menyambut hari raya.

Semalam sebelum tidur, Meen telahpun menyediakan bahan-bahannya. Jadi semuanya telahpun Meen sukat dan sediakan terlebih dahulu supaya tidak mengambil masa terlalu lama di dapur nanti. Bila ada anak kecil ni, semuanya hendaklah dirancang terlebih dahulu. Jadi, pagi ini tinggal hendak menguli sahaja.

Jom Meen kongsikan resipinya. Resipi ini diambil daripada Majalah Harmoni Julai 2015 namun diolah sedikit oleh Meen.


magazinesbymeen.blogspot.my
Semperit Cinta



Semperit Cinta.

Bahan-Bahannya:
  • 125gm Mentega
  • 50gm Gula aising
  • 1 biji Kuning Telur
  • 190gm Tepung gandum
  • 30gm Tepung kastard
  • Manik gula (untuk hiasan)



Cara Penyediaanya:

  1. Pukul mentega dan gula aising sehingga berubah warna kekuningan dan masukkan esen vanilla.
  2. Masukkan kuning telur dan kacau rata.
  3. Masukkan tepung gandum dan tepung kastard serta kaup balikkan sehingga rata.
  4. Adunan siap.
  5. Gunakan paip doh semperit dan susunkan di dalam loyang pembakar kuih.
  6. Hiaskan dengan manik gula.
  7. Bakar pada suhu 175 darjah Celcius sehingga masak (bakar pada 15-20 minit bergantung kepada oven pembakar anda). 
  8. Setelah semperit berada pada suhu bilik, bolehlah disimpan di dalam balang.

magazinesbymeen.blogspot.my
Semperit Cinta Sebelum Dibakar
magazinesbymeen.blogspot.my
Semperit Cinta Sedia Untuk Dimakan

Belum pun sempat dimasukkan ke dalam balang, Adlina sudah terlebih dahulu merasai Semperit Cinta ini. Sedap katanya. Tersenyum sahaja Meen memerhatikan gelagatnya. Kini, Adlina boleh diajak ke dapur sebagai teman memasak. Walau sesekali dia meminta untuk menolong mengacau rata adunan, Meen biarkan sahaja. Apa yang penting baginya, peluang dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membantu membuat kuih Semperit Cinta ini. 

Jangan lupa mencuba.

Memang amat mudah. Mungkin sahabat semua ingin mencuba untuk hari raya pada tahun ini. Manalah tahu. dapat juga kita berjimat cermat. Membantu menguruskan ekonomi keluarga kita dengan lebih ekonomi. Itukan satu usaha juga. 

Manisnya senyum.

Sabtu, 20 Februari 2016

Season's Flower Show by EcoWorld

Salam.

Tarikh 20-Februari-2016.

Meen mengikut "MrPresident" meraikan majlis perkahwinan sahabatnya pada hari ini.

Kebetulan majlis perkahwinan sahabatnya di Bukit Chedang, Seremban lalu terdetik juga ingin menziarahi Mak Busu. Tetapi, Mak Busu tiada di rumah sebaliknya dia pula ke Kuala Lumpur menziarahi anaknya.

Mak Busu adalah di antara orang yang menjadi tempat untuk Meen menumpang kasih semasa bekerja di Seremban dahulu. Pada awal perancangan, rumah Mak Busu hanyalah untuk dijadikan tempat untuk bermalam sementara sebelum dapat mencari bilik untuk disewa, namun akhirnya Meen akur juga untuk tinggal di rumah Mak Busu atas pelawaannya memandangkan di rumahnya ada bilik kosong yang jarang-jarang dihuni.

Tambahan pula, Meen selalunya akan berulang-alik dari Cheras ke Seremban selang dua hari untuk bertemu dengan "MrPresident". Perjalanan yang memakan masa selama 45 minit dirasakan singkat sahaja sekiranya hendak pulang ke Cheras. Begitulah kehidupan sebelum bergelar ibu, sehinggalah akhirnya Afrina lahir pada 24-Oktober-2009 dan beberapa tahun kemudiannya Meen akhirnya dapat ditukarkan ke tapak projek di Kuala Lumpur.

Pulang daripada majlis perkahwinan, "MrPresident" mengajak untuk ke pameran bunga oleh EcoWorld, Season's Flower Show. Sudah lama ingin menjengah projek oleh EcoWorld, jadi mungkin inilah peluang yang sesuai untuk singgah sebentar.

Sesampainya di EcoMajestic, memang terkejut juga kerana begitu ramai orang di sini. Suasananya amat meriah. Setelah mengambil wristband, kami pun mempercepatkan langkah untuk segera ke taman bunganya.

Suasana amat berbeza. Terasa seperti bukan berada di Malaysia. Bersih dan dipenuhi dengan bunga-bunga indah yang segar. Memang cantik.

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

 magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com

magazinesbymeen.blogspot.com


Sekiranya ada kelapangan, bawalah keluarga sahabat ke sini. Memang berbaloi-baloi, dan datanglah pada waktu pagi kerana petang mungkin akan menjadi tersangat ramai dan penuh sesak.

Season's Flower Show by EcoWorld di Semenyih
Masuk Percuma dan cuma perlu dapatkan Wristband di kaunter pendaftaran 

Isnin-Jumaat 10pagi-5petangSabtu-Ahad 10pagi-8petang

Sehingga 6 Mac 2016



Manisnya senyum.

Khamis, 18 Februari 2016

Bila Adlina dan Affan Diserang Selesema?

Salam.

Tarikh 19-Februari-2016.

Adlina dan Affan diserang selesema lagi.

Kebiasaannya apabila Adlina diserang selesema, akan berjangkitlah juga selesema kepada Affan.

Manakan tidak kalau sentiasa sahaja dipeluk cium adiknya itu. Memang selalu sahaja menjadi kebiasaan apabila Affan dipeluk cium sehingga ke tapak-tapak kakinya menjadi sasaran kakaknya untuk menunjukkan rasa kasihnya kepada adiknya Affan.

Hendak ditegah supaya tidak dipeluk cium adiknya itu tatkala Adlina diserang selesema memanglah amat tidak wajar. Memang mustahil untuk Meen dapat mengawasi pergerakan Adlina dan Affan sepanjang masa. Sesekali memang terpaksa ditinggalkan mereka berdua tetapi akan dipastikan dahulu persekitaran mereka selamat dan mereka juga hanya ditinggalkan seketika sahaja oleh Meen.

Jadi apabila Adlina diserang selesema, Affan pun turut diserang selesema juga.

Seperti biasa.

Kali ini. "babybalsam" vicks yang biasanya disapukan ketika selesema sudah kehabisan pula. Belum sempat juga hendak ke kedai barangan bayi membelinya.

Lalu Meen memikirkan alternatif lain supaya selesema mereka cepat reda.


magazinesbymeen.blogspot.my
"Budak-Budak Hidung Kuning"
Apa alternatif Meen?

Meen ambil ibu kunyit dari dalam peti sejuk dan mengikis sedikit hujungnya. Kemudian. Meen ambil garfu dan menyagatnya kepada hujung kunyit tadi supaya akan keluarlah air kunyit itu sedikit. Meen sapukan ke batang hidung Adlina dan Affan sehingga ke hujung rambut di dahi. Selesai. Dua malam Meen mengulangi perkara yang sama.

Pada malam pertama, Adlina tidak lena tidur dan merengek minta dilayan kerana hidungnya tidak selesa akibat dari hingus yang selalu keluar mengalir. Affan tidur seperti biasa kerana mungkin selesemanya agak lewat sedikit daripada Adlina.

Pada malam kedua pula, Affan pula yang merengek kerana hidungnya tersumbat dan hanya lena tidur selepas jam menunjukkan pukul 3 pagi.

Hanya dua malam sahaja Meen menyapukan kunyit hidup ke batang hidung Adlina dan Affan dan pada hari yang seterusnya, selesema mereka sudahpun kering.

Kini, selesema mereka sudahpun kering dan ada sedikit-sedikit batuk. Meen suakan sedikit madu menggunakan sudu plastik yang diminum bersama segelas air suam ketika bangun pagi dan sebelum mereka tidur malam.

magazinesbymeen.blogspot.my
Wajah-Wajah Ceria

Memang mudah dan berkesan petua orang lama ini.

Jimat malah hanya menggunakan bahan-bahan tradisional.

Tiada bahan kimia. Memang selamat.

Sekiranya anak-anak sahabat juga diserang selesema, cubalah gunakan ibu kunyit bagi melegakan selesema mereka.

Manisnya senyum.

Jemput-Jemput Lobak Merah Buat Adlina

Salam.

Tarikh 19-Februari-2016.

Cepat betul masa berlalu. Sudahpun dua bulan kita meninggalkan tahun 2015.

Hari ini hari Jumaat. Hari Jumaat merupakan hari yang paling cepat putarannya mengikut pandangan dan pengalaman Meen.

Hampir sudah kita ke penghujung bulan Februari 2016.

Permintaan daripada Adlina, pagi ini Meen menyediakan jemput-jemput sebagai sarapan. Cepat dan ringkas. Memang itulah yang Meen selalu harapkan apabila hendak mnyediakan hidangan untuk sarapan.

Jemput-jemput ini sesuai dimakan begitu sahaja atau boleh juga dimakan dengan sos cili.

Jom Meen kongsikan resipinya.


Jemput-Jemput Lobak Merah.

magazinesbymeen.blogspot.my
Jemput-Jemput Lobak Merah

Bahan-bahannya:

  • 4-6 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar serbuk lada putih
  • 3 sudu besar ikan bilis
  • 1 biji bawang merah
  • 1 inci lobak merah dipotong mancis
  • Secubit soda bikarbonat 
  • Garam secukup rasa 
  • 2-3 cawan air
  • Minyak untuk menggoreng
magazinesbymeen.blogspot.my
Langkah Demi Langkah

Cara Penyediaannya:
  1. Kisarkan bawang merah, ikan bilis bersama lada sulah sehingga halus. Tambahkan sedikit air bagi memudahkan proses mengisar.
  2. Masukkan tepung gandumm ke dalam mangkuk besar dan tambahkan soda bikarbonat dan garam. Kacau rata.
  3. Masukkan bahan kisar tadi ke dalam adunan tepung gandum.
  4. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil dikacau adunan tepung tadi sehingga agak lembut.
  5. Sedia untuk digoreng.
  6. Gunakan api kecil untuk mengelakkan jemput-jemput masak tidak sekata ketika baru memasukkan jemput-jemput, 
  7. Setelah kuali penuh, barulah dibesarkan sedikit api.
  8. Sedia untuk dihidang. 
  9. Selamat mencuba.

Semoga hari sahabat semua dipenuhi dengan keceriaan dan kegembiraan.

Semoga sahabat dan Meen sendiri dilimpahi rezeki yang luas. 

Ameen.


Manisnya senyum.

Rabu, 17 Februari 2016

Gulai Kuning Telur Ayam

Salam.

Tarikh 18-Februari-2016.

Hari ini Meen perlu cepat-cepat memasak bagi memastikan Afrina dapat segera mengalas perut dengan sepinggan nasi kerana pada hari ini Afrina akan ke sekolah kebangsaan daripada rumah.

Sekolah agama akan tamat waktu persekolahan pada pukul 10.45 pagi. Jadi, pada jam 11.00 pagi nanti, Meen perlu siap memasak hidangan tengahari.

Memikirkan apa yang patut dimasak supaya boleh selesai memasak dengan cepat, sambil tangan segera memandikan Affan.

Walaupun mata masih lagi terasa bengkak kerana melayan kerenah Affan yang tidak lena tidur semalam, Meen perlu cepat dan pantas bagi memastikan Afrina boleh makan nasi sebelum ke sekolah kebangsaan nanti.

Lalu, datanglah idea untuk memasak gulai kuning telur yang tidak pedas supaya boleh pula dinikmati oleh anak-anak.

Jom Meen kongsikan resipi mudah ni.



Gulai Kuning Telur Ayam.

Bahan-bahannya:

  • 6 biji telur ayam
  • 500 gm santan pekat
  • 3 inci kunyit
  • 1 ulas bawang merah (agak besar saiznya)
  • 1 ulas bawang putih (agak besar saiznya)
  • 7 biji cili api
  • 1 cm belacan
  • 1 keping asam keping
  • 1 helai daun kunyit
  • 2 batang serai
  • Garam 

Cara Penyediaannya:
  1. Tumbuk dan pecah-pecahkan sedikit serai menggunakan lesung batung.
  2. Tumbuk lumat kunyit, bawang merah, bawang putih, cili api dan belacan. 
  3. Letakkan di dalam periuk kesemua bahan tumbuk tadi, 
  4. Masukkan daun kunyit yang di siat-siat, serai yang ditumbuk sedikit tadi, dan asam keping. 
  5. Di dalam kuali, masukkan separuh air dan tunggu hingga mendidih.
  6. Selepas air mendidih, masukkan sebiji telur dan tunggu sehingga telur tadi agak mengeras dengan api kecil. 
  7. Telur yang sudah mengeras tadi dikeluarkan dan proses dilakukan untuk kesemua telur satu persatu. 
  8. Selepas selesai, ambil lebihan air bagi memasak telur tadi dan dimasukkan ke dalam periuk berisi bahan tumbuk tadi.
  9. Tunggu sehingga air mendidih, dan masukkan santan. 
  10. Kacau seketika sehingga mendidih dan dimasukkan telur. 
  11. Perasakan dengan sedikit garam.
  12. Biar seketika dan sedia untuk dihidang. 
  13. Selamat mencuba.

Manisnya senyum.

Pagi Yang Indah Dengan Chocolate Chip Scones

Salam.

Tarikh 17-Februari-2016.

Hari ni Meen berkira-kira untuk menyediakan Scones Coklat Cip sebagai sarapan.

Ketika sedang sibuk menimbang-nimbang bahan-bahan untuk disediakan, baru Meen perasan bahawa telur pula sudah habis.

Alamak, macam mana ni?

Nampaknya masa memang mencemburui di awal pagi begini, lantas Meen tekadkan juga niat untuk mencuba juga walaupun kehabisan telur.

Selepas siap dibakar dan disajikan, sehinggakan tidak sempat pula untuk diambil gambar sebagai ingatan. Mungkin juga kerana kesuntukan waktu di awal pagi, atau juga mungkin kerana menjadi kesukaan buat "MrPresident" dan anak-anak.

Semoga Chocolate Chip Scones ini dapat membuatkan pagi mereka lebih indah hari ini.

Jom Meen kongsikan resipi "Chocolate Chip Scones" pada hari ini.


Chocolate Chip Scones



magazinesbymeen@blogsppot.com
"Chocolate Chip Scones"
Bahan-Bahannya:

  • 350g tepung gandum
  • 2 sudu kecil baking powder
  • 100g gula perang
  • secubit garam
  • 110 marjerin Planta (disejukkan dan didadu)
  • 100g coklat cip
  • 120g susu segar HL
  • 1 sudu kecil vanila


Cara Penyediaannya:

magazinesbymeen@bogspot.com
Langkah-Langkah Awal
  1. Campurkan susu segar HL bersama vanilla.
  2. Campurkan tepung gandum, baking powder dan gula perang ke dalam mangkuk besar.
  3. Tambahkan secubit garam.
  4. Gaulkan marjerin Planta menggunakan hujung jari sahaja sehingga adunan menjadi seperti adunan serbuk roti.
  5. Masukkan coklat cip.
  6. Tambahkan susu dan digaul rata.
  7. Tinggalkan sedikit susu sebagai sapuan di atas scomes nanti. 
  8. Adunan tadi dibetuk bulat dan dileperkan sebelum dipotong menjadi lapan bahagian.
  9. Susunkan di atas loyang, di sapukan baki susu tadi dan dibakar menggunakan suhu 17C selama 30-40 minit bergantung kepada pembakar.
  10. Setelah warnanya agak kekuningan dan baunya pun sudah wangi mengharum, bolehlah dikeluarkan daripada pembakar.
  11. Sedia untuk dihidang.
  12. Cubalah. 
  13. Memang mudah.

magazinesbymeen@bogspot.com
Selepas Dicampurkan Coklat Cip dan Sebelum Dibakar

Jom cuba resipi Chocolate Chip Scones yang memang amat mudah disediakan ini.

Ketika menggaul rata adunan, gunakan hanya hujung jari untuk mengelakkan adunan menjadi keras, atau boleh sahaja digunakan whisk sebgai alat bantu penyediaan.

Manisnya senyum