Rabu, 27 Januari 2016

10 Tips Urus Kewangan Dengan Bijak

Salam.

Tarikh 27-Januari-2016.

Sana sini, orang bercerita mengenai isu semasa melibatkan kewangan. Bila sahaja bercerita mengenai kewangan, ramai betul di antara kita yang garu kepala dan semakin bertambah runsing, memikirkan mengenai masalah kewangan. 

Kita seringkali melihat, merasai pengalaman sendiri serta mendengar bahawa kebanyakan kita dan kawan-kawan kita pasti mengalami masalah duit. Duit ini memang tidak akan pernah cukup seandainya kita tidak pandai menguruskannya dengan bijak. 

Semestinya kita kena tahu masalah duit atau wang ini bukan hanya orang miskin sahaja yang mengalaminya kerana orang kaya juga turut terlibat kerana terjebak masalah dengan hutang yang banyak atau muflis dengan perniagaan. Oleh itu, jom kita baca 10 tips untuk urus kewangan dengan bijak.

Tips #1 Ubah Sikap
Ubah sikap dan tetapkan pendirian agar tidak menjadi pemboros atau suka membazir dan mengikut nafsu apabila mempunyai duit atau wang. Malas mencari duit, mudah putus asa dan tidak mahu mengambil peluang, takut mengambil risiko serta kurang berusaha untuk mencari duit perlu dielakkan. Jangan mudah merungut, menyalahkan orang lain, serta terlalu bergantung kepada orang lain kerana ia adalah sikap yang langsung tidak membina. Peganglah pada janji tuhan bahawa ‘Allah tidak akan mengubah satu kaum itu melainkan kaum itu mengubah dirinya sendiri’. Amalkan sikap-sikap positif dalam diri untuk berjaya dan paling penting Jangan amalkan sikap suka meminjam walau dengan sesiapapun. Buat sesuatu perkara, usaha sedikit demi sedikit untuk mencapai sesuatu dan banyakkan bersabar.


Tips #2 Menyimpan
Setiap orang yang bekerja pasti memperoleh duit gaji. Gaji banyak atau sedikit wajib kena menyimpan juga walau apa pun berlaku. Contoh gaji RM900, simpan RM50.


Tips #3 Selesaikan hutang sedia ada, berhenti menggunakan kad kredit
Hutang sedia ada ini termasuk bil air, elektrik, sewa rumah, motorsikal, kereta pada waktu yang ditetapkan. Jangan bertangguh membayar melebihi tarikh dan waktu yang dijanjikan. Elakkan juga mempunyai kad kredit dan bayarlah menggunakan kad debit ATM kita semasa membeli barangan. Lebih elok, bayar secara tunai.


Tips #4 Bayar zakat dan bersedekah
Orang Islam wajib kena bayar zakat apabila bekerja. Jangan anggap zakat sebagai beban sebab dengan membayar zakatlah orang Islam akan dapat rezeki daripada Allah daripada sumber yang tidak dapat dijangkakan dan ia memang bukanlah sesuatu yang membebankan. Sedekah juga kepada insan yang memerlukan bukan hanya kepada orang miskin, anak-anak yatim tetapi keluarga, dan mereka yang memerlukan pertolongan kita.

Tips #5 Berbelanja mengikut pendapatan
Sekiranya pendapatan kita dalam RM2000. Berbelanja mengikut keperluan. Rancang perkara yang perlu dibuat semasa menerima gaji atau pendapatan. Beli barangan ikut kemampuan dan elakkan hutang. Contoh gaji yang ditetapkan untuk berbelanja adalah RM700 selepas ditolak dengan hutang dan simpanan. Beli barangan dapur dan apa-apa barangan yang menjadi keperluan bulanan. Bijak memilih barangan yang murah tetapi berkualiti.



Tips #6 Menyenaraikan barangan keperluan dalam pembelian mengikut keutamaan
Dalam RM700 untuk pembelian barangan keperluan. Utamakan barang yang perlu dahulu atau perbaiki barangan yang rosak seperti mesin basuh, kipas angin dan sekiranya ada yang lebih utamakan barangan dapur dahulu. Amalkan gaya hidup makan dirumah berbanding makan di luar. Selepas itu lihat pula pada pakaian, buat penilaian yang perlu, sekiranya pakaian seperti tudung dah banyak, apa salahnya guna dahulu yang sedia ada. Yang pasti elakkan membazir.

Tips #7 Ganjaran
Sebagai manusia kita tidak lari dari kehendak kehidupan. Apa yang orang lain ada kita juga mahu ada. Tetapi biarlah ikut kemampuan. Sekiranya ada bonus, gaji yang lebih banyak selepas ditolak dengan simpanan, hutang dan segala keperluan mencukupi seisi keluarga. Barulah membeli barangan yang kita inginkan tetapi rancanglah dahulu. Jangan terlalu gelojoh untuk membeli segera perkara yang dinginkan. Buat penilaian, teliti harga dan belilah barangan tersebut dengan harga yang berpatutan dan mengikut kemampuan. 


Tips #8 Membuat pelaburan atau menambahkan pendapatan
Untuk mendapatkan gaji yang lebih baik daripada sebelumnya, kita boleh membuat pelaburan ASB atau pelaburan yang sah, selamat serta mengikut syariah bagi yang Islam disamping menjana pendapatan mengikut tahap kesihatan tubuh. Sumber rezeki yang banyak datangnya daripada perniagaan. Buatlah kerja part time untuk menambahkan pendapatan keluarga yang tidak membebankan dan menjejaskan kesihatan tubuh badan.

Tips #9 Dapatkan nasihat kewangan
Untuk mendapatkan tips yang lebih baik secara terperinci dalam menguruskan kewangan anda sendiri. Banyak daripada pihak kerajaan dan NGO yang boleh membantu kita dalam memberikan nasihat kewangan dalam menguruskan kewangan dan hutang peribadi yang terbeban. Jangan berasa segan, kerana bukan kita seorang yang mengalami masalah kewangan tetapi ramai. Cepatlah berjumpa dengan pihak AKPK bagi membantu mempercepatkan masalah kewangan.



Tips #10 Membeli aset

Kepada mereka yang berkemampuan dan berpendapatan tinggi janganlah ingat masalah kewangan tidak akan dihadapi oleh anda. Malang kan tidak berbau. Jadi belilah aset yang boleh membawa pulangan balik kepada anda seperti rumah, emas ataupun hartanah.



Ringkasnya, rancanglah kewangan anda dengan bijak dan elakkan berhutang.

Jom sama-sama kita amalkan.


Manisnya senyum. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan