Selasa, 26 Januari 2016

'Abang Sado' dan Hormon Testosteron?

Salam.

Tarikh 26-Januari-2016.




‘Abang Sado’ satu fenomena yang melanda golongan muda lelaki di negara kita pada masa kini. Semakin ramai golongan lelaki tertarik dan mula mendaftarkan diri ke pusat-pusat kecergasan untuk membina badan dan membesarkan otot-otot tubuh.

Perkembangan positif ini secara tidak langsung menyokong budaya hidup sihat kerana ramai yang mula mengamalkan senaman secara berterusan di pusat-pusat kecergasan mahupun di rumah bagi yang mempunyai set alatan senaman yang lengkap. Matlamat mereka adalah untuk mempunyai bentuk tubuh yang sasa dengan otot-otot yang besar di beberapa bahagian tertentu pada badan agar kelihatan gagah.

Di sebalik perkembangan positif ini, wujud pula sedikit kebimbangan dalam aspek kesihatan. Kebimbangan ini timbul apabila terdapat segelintir golongan lelaki yang ingin menjadi ‘Abang Sado’ dengan memilih jalan singkat untuk membesarkan otot-otot menggunakan sejenis hormon iaitu Testosteron. Hormon ini dilihat sangat mudah didapati terutama di pusat-pusat kecergasan dan dijual tanpa pengawasan doktor dan ahli farmasi bertauliah.


Testosteron adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh tubuh badan untuk penghasilan sperma, meningkatkan keinginan seksual, meningkatkan kekuatan tulang dan pembesaran otot. Penghasilan hormon ini memuncak ketika umur 30an dan akan mula berkurang selari dengan peningkatn usia seseorang itu. Testosteron dalam bidang perubatan digunakan untuk rawatan keadaan tubuh badan yang kurang menghasilkan hormon testosteron atau dikenali juga sebagai Hipogonadisma terutama dalam golongan lelaki. Rawatan hanya akan diberikan setelah dikenalpasti kandungan testosteron yang rendah melalui ujian maklmal.

Dalam aspek perundangan pula, testosteron merupakan ubat terkawal. Ia memerlukan preskripsi daripada doktor untuk pendispensan dan hanya boleh didapati di hospital, klinik-klinik dan premis farmasi komuniti berlesen. Antara bentuk dos testosteron yang berada dalam pasaran berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tujuan rawatan adalah dalam bentuk kapsul, gel untuk disapu di bahagian kulit dan cecair suntikan.
Penggunaan testosteron tanpa nasihat doktor dan digunakan secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar, kanser prostat dan kesan sampingan lain seperti gangguan pernafasan ketika tidur (apnea), jerawat, pembasaran organ payu dara dan pengecutan saiz testis.

Beberapa kajian menunjukkan golongan lelaki berusia 65 tahun ke atas dan golongan lelaki muda yang menghidap penyakit jantung mempunyai dua kali ganda risiko untuk mendapat serangan jantung selepas penggunaan testosteron. Justeru penggunaan testosteron tanpa mengetahui latar belakang status kesihatan boleh mengundang bahaya dan boleh menyebabkan maut.

Dalam kajian lain pula menunjukkan golongan lelaki yang mengambil testosteron adalah 30% lebih berisiko untuk mendapat serangan angin ahmar. Malah ia juga menunjukkan beberapa individu yang menggunakan ubat ini mengalami serangan angin ahmar ringan atau dikenali sebagai serangan iskemia sementara. Keadaan ini mungkin disebabkan testosteron boleh menyebabkan darah menjadi lebih pekat dan meningkatkan risiko penggumpalan darah. Penggumpalan darah di salur darah otak ini boleh menyebabkan berlakunya serangan angin ahmar.

Penggunaan testosteron secara berlebihan juga boleh meningkatkan risiko golongan lelaki mendapat kanser prostat dalam jangka masa panjang. Beberapa kajian telah menunjukkan individu yang mengambil hormon ini secara berlebihan berisiko untuk mendapat kanser prostat sebanyak dua kali ganda.

Kesan sampingan lain adalah gangguan pernafasan ketika tidur (apnea). Keadaan ini mungkin disebabkan oleh penyempitan salur pernafasan. Jika keadaan seperti ini berterusan ia boleh menyebabkan berlakunya angin ahmar dan mempunyai kesan kepada jantung kerana peredaran darah ke jantung berkurangan.

Testosteron yang digunakan tanpa pengawasan doktor dan tiada kawalan boleh menyebabkan ketidak seimbangan hormon berlaku. Situasi ketidak seimbangan hormon boleh menyebabkan pembesaran payu dara lelaki, iritasi kulit, jerawat, kulit berminyak dan pertumbuhan bulu. Selain daripada itu, pengecutan testis juga akan berlaku dan boleh meningkatkan risiko kemandulan.

Penggunaan testosteron dalam bentuk gel oleh kaum lelaki boleh memberi kesan kepada kaum wanita dan kanak-kanak jika berlaku sentuhan pada kulit yang disapu gel tersebut. Sebagai contoh, jika wanita tersentuh bahagian kulit yang disapu gel testosteron ini boleh menyebabkan resapan testosteron berlaku, seterusnya menyebabkan kesan samping seperti jerawat dan peningkatan pertumbuhan bulu. Lebih membimbangkan lagi jika wanita tersebut mengandung kerana testosteron boleh menyebabkan kecatatan berlaku terhadap bayi dalam kandungan.

Terdapat juga amaran kesan sampingan dalam kalangan kanak-kanak jika bersentuhan dengan individu dewasa yang menggunakan gel testosteron ini. Antara kesan samping tersebut adalah pembesaran organ kemaluan (zakar, klitoris), penuan usia tulang dan bersifat garang atau berkelakuan agresif.

Bagi warga atlit pula, penggunaan testosteron dalam sukan dalam apa jua bentuk dos adalah dilarang semasa menyertai pertandingan mahupun di luar waktu pertandingan. Penggunaan testosteron ini dianggap salah satu kaedah pendopan (doping) dalam sukan dan ia merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan terhadap atlit tersebut. Antara tindakan yang boleh dikenakan adalah; gantung daripada menyertai sebarang pertandingan di masa hadapan dan/atau penarikan semula status kemenangan dalam pertandingan tersebut.

Justeru untuk menjadi ‘Abang Sado’ ada cara atau kaedah terbaik tanpa menggunakan sebarang ubat ataupun hormon. Sebagai contoh; ramai pelatih-pelatih kecergasan yang profesional berjaya mengekalkan kecergasan dan bentuk fizikal tubuh badan mereka melalui amalan pemakanan dan senaman yang betul untuk membina dan membesarkan otot. 

Usaha serta kegigihan melakukan senaman mengangkat bebanan yang betul dan berterusan mampu merealisasikan impian untuk menjadi ‘Abang Sado’ secara sihat dan jauh dari sebarang masalah kesihatan.

Kredit kepada KKM

Manisnya senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan