Jumaat, 29 April 2016

Pesan Abah

Pesan Abah



Abah selalu pesan,

Jangan pernah bebankan manusia dengan masalah kita.

Seberat mana kita rasa terbeban dengan dunia,

Serendah mana kita ditolak jatuh olehnya,

Seluka mana kita dikhianati manusia.

Abah kata, jangan pernah kita mengharap manusia untuk dengar kita.

Paling tidak,mereka cuma mampu kata “sabar,ini ujian untukmu”

Sedang mereka tidak tahu apa yang ada dalam kasut kita.

Saiz saja sudah tidak sama.

..

Lalu abah kata,

Setiap detik yang kita rasa hilang,

Rasa seperti seolah jiwa terbang,

Ingati tuhan.

Kerna,cuma yang mengingati tuhan akan dibalas dengan sayang.

Cuma yang mengerti nilai menjadi hamba,
Akan mengerti kemana harus dia pergi seandai dihimpit dunia.

Ingat,manusia tak selalu ada untuk kita.
Hatta orang yang paling kita sayang dan kita cinta.

Tapi tuhan,
Sempurna sifatNya pada setianya Dia.

Luahkan pada Allah,
Luahkan pada Allah,

Dan tetap meluah pada Allah.

Iya memang,Dia Maha Mendengar.
Tak perlu luah pun takpe.

Tapi bukankah kurangnya sifat hamba itu pada kebergantungannya?

Jangan ego didepan tuhan.

Jangan merampas sifat yang cuma layak bagi Dia.

..

Moga kita,tuhan jagai hati hatinya.

:)



Manisnya senyum.

Kredit to ohheyitsnafisah

Khamis, 28 April 2016

Kerjaya, Keluarga dan Wanita

Salam.

Tarikh 28-April-2016. 

Meen harus akui, minggu ini adalah minggu yang paling sibuk buat Meen setelah sekian lama, tidak terasa sibuk yang begini. Sekian lama dikenang, mungkin juga disebabkan faktor usia yang membuatkan Meen semakin cepat lesu. Atau barangkali juga, tenaga yang diperolehi tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya. 

Bermula dengan hari Isnin yang lalu, Mak dan Ayah dengan berbesar hati menawarkan Meen bantuan untuk menjaga anak-anak Meen sementara Meen ke kelas untuk menimba ilmu bagi meneruskan cita-cita menjadi seorang perunding pelaburan.



Terasa amatlah bersalah di hati kerana terpaksa pula melibatkan Mak dan Ayah untuk membantu Meen menjaga anak-anak untuk sehari suntuk. Namun apakan daya Meen, usaha harus dilakukan dan Meen pasti takkan sia-siakan pengorbanan Mak dan Ayah kepada Meen sekeluarga. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi mereka. Sungguh, terasa kecil sekali diri ini kerana melibatkan mereka di dalam hal penjagaan anak-anak, walaupun Mak dan Ayah menawarkan diri. Memang tidak terbalas jasa Mak dan Ayah.

Buat keluarga tercinta, terima kasih atas sokongan kalian yang tidak berbelah bahagi apabila diperlukan. Pasti, jasa dan pengorbanan kalian yang mungkin kecil pada pandangan mata kalian sendiri, besar maknanya di mata Meen.

Keesokan harinya pula, Meen dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga dengan sebuah syarikat pembinaan. Soalan biasa yang akan ditanya apabila anda seorang wanita dan telahpun mempunyai keluarga dan anak, "Siapa yang akan menjaga anak-anak apabila anda kembali bekerja?", atau juga "Bolehkah anda datang bekerja pukul 2 atau 3 pagi sekiranya perlu?".


Meen seorang wanita dan Meen juga percaya bahawa ramai wanita di luar sana yang telahpun mempunyai anak atau masih mencuba untuk mempunyai anak dan masih akan tetap bekerja walaupun telah mempunyai anak. 

Bukan semua di antara kita yang bertuah dianugerahi dengan sebuah perniagaan yang perlu diuruskan sendiri oleh kita, dan bertuah kerana tiada kekangan masa kerana kebanyakan masa dari usahawan wanita adalah lebih fleksibel dan lebih benyak bergantung kepada keputusan kita sendiri. 

Wanita dan zuriat, adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Zuriat itu pula hanya akan diperolehi dan hanya boleh dikandungkan oleh seorang insan bernama wanita. 

Ya, hanya wanita sahaja yang boleh mengendong kandungan selama 9 bulan dan hanya seorang wanita jualah yang boleh melahirkan seorang zuriat walau bagai mana cara sekalipun kelahiran zuriat itu nanti.

Meen menyeru sahabat-sahabat wanita di luar sana, sekiranya kerja anda memberikan tekanan kepada anda, di dalam soal atau isu seorang yang bernama "ZURIAT" atau "ANAK", percayalah bahawa anda tidak keseorangan. Teruslah berjuang demi anak tercinta dan demi keluarga tercinta.

Buat para suami atau para sahabat lelaki yang budiman, sokonglah rakan sekerja wanita anda, atau juga sokonglah wanita yang anda panggil isteri anda, di dalam urusan pekerjaan. 

Buat insan yang paling memahami Meen, "MrPresident" terima kasih kerana memberikan ruang dan peluang kepada Meen di dalam membuat keputusan di dalam soal pekerjaan. 

Besar juga cita-cita dan impian Meen untuk mempunyai pekerjaan yang membolehkan Meen menguruskan anak-anak dengan kudrat Meen sendiri di samping dapat juga membantu suami melonjakkan pendapatan ekonomi keluarga. 

Jom Meen kongsikan bersama tips supaya kita akan lebih bertenaga sepanjang hari. Cubalah amalkan Tasbih Fatimah. 
Semoga kita semua dilimpahi dengan rahmat dari Ilahi yang tidak terhitung rahmatnya. dilimpahi rezeki yang melimpah ruah supaya dapatlah pula kita membantu saudara kita yang dalam kesusahan. 

Buat sahabat wanita semua, teruskan berusaha walau rintangannya amat serasa seakan sukar untuk dilalui. 

Manisnya senyum.

Sabtu, 23 April 2016

Kedai Barangan Outdoor, Aeon Mall Shah Alam dan Kedai Pembekal Bahan Baking

Salam.

Tarikh 23-April-2016.

Pada hari Sabtu, Meen telahpun mengajak "MrPresident" untuk membeli tambahan barang-barang dan bahan-bahan untuk membuat "cookies".

Bahan-bahan ini Meen berhajat untuk mendapatkannya di Shah Alam di sebuah kedai pembekal bahan-bahan "baking".

Sebelum ke sana, kami telahpun singgah terlebih dahulu ke sebuah kedai yang menjual perkakasan dan barang-barang outdoor di Cheras untuk membuat tempahan t-shirt untuk trip Korga KLHAMOC nanti.


Tengok tu, bukan main gembira dan teruja bilamana Afrina dan Adlina menjumpai khemah di luar pintu hadapan kedai outdoor ini.


Siap boleh baring-baring di dalam khemah wahai anak. Hmm, Meen biarkan sahaja mereka menikmati saat-saat itu kerana "MrPresident' telahpun ke tingkat atas untuk menguruskan tempahan t-shirt.

Bagaimana agaknya nanti sekiranya kami sekeluarga dapat berkhemah nanti. Sebenarnya telahpun ada perancangan dibuat untuk tahun ini ke Gunung Baling di Kedah. Tetapi memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan, ditambah pula dengan hutan Baling itu sendiri yang terbakar pada awal Februari, kami terpaksa melupakan sementara hajat untuk ke sana.

Biarlah sehingga semuanya kembali reda dan keadaan sedikit stabil, kami pasti akan ke sana juga sekiranya diizinkan Ilahi.


Adlina akan mengikuti apa sahaja yang dilakukan oleh Afrina. Kadang-kala memang tergelak sendirian melihatkan telatah dan gelagat mereka. Kalau dah dinamakan anak, apa sahaja yang dibuat mereka boleh mencuit hati kita sebagai ibubapa. Betul bukan?


Jadi, perancangan awal untuk menikmati sarapan di pusat bandar Kuala Lumpur nampaknya tidak dapat dipenuhi. Ini kerana jadual masa telahpun berubah dan untuk tidak melengahkan lagi masa, selesai sahaja urusan tempahan t-shirt dibuat, "MrPresident" terus mengajak untuk ke Shah Alam memandangkan kami pun sudah kesuntukan masa.

Sesampainya di Shah Alam, terlihat pula oleh Meen bangunan Aeon Mall yang seperti menarik-narik tangan Meen untuk berkunjung.

Meen bersetuju apabila "MrPresident" mempelawa untuk ke Aeon Mall Shah Alam yang baru sahaja dirasmikan pada Mac yang lalu. Disebabkan masih lagi belum menikmati sarapan pagi, kami mengambil keputusan untuk menikmati "brunch" di sini.

Besar juga Aeon Mall Shah Alam ini, bisik hati kecil Meen. Tetapi, kami ke sana hanyalah untuk menikmati hidangan makanpagi dan tengahari sekali "brunch", jadi selepas sahaja selesai menikmati hidangan, Meen cepat-cepat mengajak "MrPresident untuk ke kedai pembekal bahan-bahan baking pula. Masa amatlah bernilai buat Meen sekarang, namun sedari dulu lagi memang masa amat-amat mencemburui Meen lagaknya.


Ini sementara menunggu "MrPresident" melayankan kerenah Adlina yang mengajak "MrPresident" untuk ke tingkat atas menggunakan escalator.

Usai sahaja melayan kerenah Adlina, kami pun cepat-cepat ke kedai pembekal bahan "baking" di Shah Alam dan apa yang pasti, Meen masih juga tidak dapat memenuhi hajat di hati iaitu ingin mencari Tepung Top.

Aduhai Tepung Top, di manakah kau berada?

Nanti di kelapangan yang lain, mungkin sahaja Meen mencari lagi atau mungkin juga Meen akan menggantikan Tepung Top dengan tepung yang lain sebagai alternatif.

Manisnya senyum.

Jumaat, 22 April 2016

Gigi dan Anak Anda - Senyuman Ceria Masa Depan Gemilang

Salam.

Tarikh 23-April-2016.

"Eh, anak dah tumbuh gigi lah Abang..."

Apabila gigi susu anak mula tumbuh, ibubapa merupakan di antara orang yang paling gembira kerana ini menunjukkan anak mereka telahpun melepasi lagi satu tahap perkembangan iaitu pertumbuhan gigi susu.

Walaupun gigi susu bukan merupakan gigi kekal, namun gigi susu juga perlu dijaga rapi kerana ia juga penting dan hanya akan digantikan dengan gigi kekal bermula anak mencapai usia 5 tahun.



Gigi susu Afrina tumbuh dengan cantik dan dijaga rapi supaya tidak rosak. Memang sedari kecil, Afrina tidak dibiasakan dengan makanan manis bergula kerana bimbangkan juga kesihatannya yang memerlukan sedikit perhatian khusus, sehinggalah Afrina berusia 6 tahun.



Sehinggalah Afrina berusia 6 tahun, barulah temujanji dengan pakar kanak-kanak dihentikan dan ditutup kerana menurut pakar kanak-kanak di HKL, perkembangan Afrina memberangsangkan dan tidak perlu lagi dipantau kerana perkembangan Afrina adalah normal.

Hanya selepas itulah, Meen tidak lagi ke HKL untuk temujanji bersama Pakar Kanak-Kanak. Sepanjang mengikuti lawatan ke HKL, pelbagai kisah dan cerita yang Meen temui, membuatkan Meen rasa diri ini sangat bertuah dikurniakan dengan anak yang istimewa, Afrina.

Jom kita kenali dan fahami tentang gigi!

Ciri-Ciri Set Gigi Susu

  • Tumbuh ketika anak berusai 6 bulan sehingga 2 tahun
  • Akan gugur dan digantikan dengan gigi kekal selepas umur 5 tahun
  • Mempunyai 3 jenis gigi iaitu gigi kacip, gigi taring dan gigi geraham
  • Mempunyai 20 batang gigi
  • Saiz kecil
  • Tidak kuat
  • Bersifat sementara dan jangka hayat yang pendek
Ciri-Ciri Set Gigi Kekal 
  • Tumbuh menggantikan gigi susu
  • Bilangan lengkap kira-kira 21 tahun
  • Mempunyai 3 jenis gigi iaitu gigi kacip, gigi taring dan gigi geraham
  • Mempunyai 32 batang gigi
  • Saiznya lebih besar
  • Lebih kuat
  • Jangka hayat panjang




Gigi susu mempunyai 3 jenis gigi iaitu gigi kacip, gigi taring dan gigi geraham dan mempunyai saiz yang lebih kecil dibandingkan dengan gigi kekal.



Gigi Anak Anda Pada Umur 7 Tahun

Perkembangan Tumbesaran
  • Gigi susu sudah mulai diganti dengan set gigi kekal. Anak anda memiliki campuran set gigi susu dan gii kekal. Dia sepatutnya sudah mampu memberus sendiri di bawah pengawasan anda.
Penjagaan dan Kebersihan Oral
  • Cuba ajarkan anak anda cara menggosok gigi yang betul, dua kali sehari (pagi dan malam) bersama anda. Ajar mereka tentang bahaya plak dan bakteria yang boleh menyebabkan karies. Selalu berjumpa dengan pakar pergigian untuk pemeriksaan gigi.
Pengambilan Fluorida
  • Gunakan Ubat gigi dan berus gigi khas bagi kanak-kanak. Jangan lupa ajarkan mereka menggunkan ubat gigi dengan jumlah ang kecil dan jangan telan ubat gigi ketika memberus.
Tabiat Oral
  • Cuba ubah tabiat menghisap jari atau botol susu kerana ia adalah tabiat buruk yang boleh memudaratkan kesihatan oral.
Diet Nutrisi
  • Semaikan tabiat pemakanan berzat serta seimbang. Jauhi makanan ringan dan manis yang boleh menyebabkan karies. Jangan sesekali mencampurkan gula ke dalam nimuman anak anda. Hentikan tabiat minum dari susu botol.
Panduan Kepada Ibubapa dan Penjaga
  • Keadaan kesihatan oral anda mempengaruhi kesihatan anak anda. Pencegahan jauh lebih murah daripada rawatan. Gunakan ubat gigi berfluorida untuk pencegahan karies yang lebih efektif.
Manisnya senyum.

Kredit kepada KPM, Colgate dan KKM.

Khamis, 21 April 2016

IMAN

Salam.

Tarikh 22-April-2016.

Rukun IMAN.




Apakah itu IMAN?

IMAN ialah mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melakukan dengan anggota badan segala perintah Allah.

HUKUM beriman dengan Allah swt adalah WAJIB bagi setiap orang Islam.

IMAN adalah hendaknya engkau percaya kepada Allah, malaikat-malaikat, kitab-kitab, para rasulnya, hari akhirat dan engkau percaya kepada qada dan qadar yang baik dan yang buruk.

Orang Islam wajib percaya kepada

  1. Allah
  2. Malaikat
  3. Kitab
  4. Qada dan Qadar
  5. Hari Kiamat
  6. Rasul

Rukun IMAN ada 6 perkara iaitu
  1. Beriman kepada Allah swt
  2. Beriman kepada Malaikat
  3. Beriman kepada kitab
  4. Beriman kepada rasul
  5. Beriman kepada hari kiamat
  6. Beriman kepada Qada dan Qadar

Ciri-ciri orang yang beriman
  1. Mengakui dengan sepenuh hati tentang kebenaran rukun iman 
  2. Mengamalkan suruhan Allah dan Rasulnya
  3. Meninggalkan larangan Allah dan rasulnya
  4. Mematuhi isi kandungan al-Quran dan hadis

Manisnya senyum.

Affan, Adlina dan Motor Besar

Salam.

Tarikh 22-April-2016.

Entah kenapa agaknya mata ini tak boleh nak dipejamkan. Mungkin kerana selepas tertidur sebentar tadi, hilang juga rasa mengantuk.

Siang tadi, Adlina dan Affan bermain bersama-sama. Seperti biasa, Adlina memang pandai melayan adiknya bermain. Kadang-kadang geli hati juga melihatkan telatah mereka berdua.

Hari ini mereka bermain motor-motor pula. Seorang duduk di hadapan manakala seorang lagi membonceng di belakang.


Affan membawa motor manakala kakanya duduk di bahagian belakang. Motor hijau ini sebenarnya dibelikan untuk Adlina, dan memang ianya kepunyaan Adlina. Tetapi Affan memang amat berminat akan motor ini. Sesekali dilihat mereka tertawa bersama. 


Adlina memang pandai melayan adiknya. Lihat saja telatahnya yang mengalah setiap kali adiknya ingin menaiki motor besarnya itu.

Mujurlah juga ada anak yang dapat menghiburkan hati di kala diri perlukan kekuatan.

Semoga sahabat juga diberikan kekuatan untuk menempuhi hari-hari yang bakal tiba yang semakin mencabar. 

Cuaca yang semakin panas, hujan yang turun sedikit-sedikit yang menyebabkan pula pembiakan nyamuk semakin cepat, jerebu dan strok haba.

Tabahlah menghadapinya.

Manisnya senyum.

Rabu, 20 April 2016

Adlina dan DIY Mainannya

Salam.

Tarikh 21-April-2016.

Semalam Adlina melakukan aktiviti bersendirian sementara menunggu adiknya bangun.

Mujur juga dia pandai dan kreatif dalam mencipta sendiri permainannya.

Bolehlah Meen melakukan sedikit kerja-kerja berkaitan "resume" yang perlu diubah dan disediakan untuk memburu pekerjaan baru.

Ini antara apa yang dicipta dan dijadikan antara permainannya.



Alat kawalan jauh yang sudah rosak ini dijadikan sebagai pengganti kepada telefon. Adlina sesekali dilihat menggunakannya untuk menghubungi seseorang.



Sepit baju yang berderet ini disusun satu persatu oleh Adlina. Meen sendiri pun tidak menyedari bila agaknya dia menyusun satu persatu sepit baju ini. Dah seperti keretapi pula nampanknya.



Ini buku-buku lama Afrina yang sudah pun tidak lagi dugunakan. Adlina menggunakan buku-buku ini untuk dibaca. Sesekali bila melihatnya, terkumat-kamit mulutnya membaca buku-buku ini. Memang tergelak sendiri lah Meen kerana dia belum pun lagi boleh membaca.



Ini sahabat baik Adlina ketika melakukan kesemua aktiviti dan permainan di atas. "Kitty" akan sentiasa bermain bersama-sama dengan Adlina dan menjadi peneman yang setia. Sesekali "Kitty" akan dipeluk cium olehnya dan seperti ada komunikasi di antara mereka. 

Begitulah kebiasaannya aktiviti dan permainan Adlina. Memang tidak dinafikan, alat permainan tidak banyak dibeli buat masa ini. Lagi pula, banyak lagi permainan yang masih elok dan boleh lagi digunakan.

Paling tidak, mungkin Adlina akan menjadi lebih kreatif kerana terpaksa mencipta idea untuk bermain. =)

Manisnya senyum.