Tarikh 28-April-2016.
Meen harus akui, minggu ini adalah minggu yang paling sibuk buat Meen setelah sekian lama, tidak terasa sibuk yang begini. Sekian lama dikenang, mungkin juga disebabkan faktor usia yang membuatkan Meen semakin cepat lesu. Atau barangkali juga, tenaga yang diperolehi tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Bermula dengan hari Isnin yang lalu, Mak dan Ayah dengan berbesar hati menawarkan Meen bantuan untuk menjaga anak-anak Meen sementara Meen ke kelas untuk menimba ilmu bagi meneruskan cita-cita menjadi seorang perunding pelaburan.
Terasa amatlah bersalah di hati kerana terpaksa pula melibatkan Mak dan Ayah untuk membantu Meen menjaga anak-anak untuk sehari suntuk. Namun apakan daya Meen, usaha harus dilakukan dan Meen pasti takkan sia-siakan pengorbanan Mak dan Ayah kepada Meen sekeluarga. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi mereka. Sungguh, terasa kecil sekali diri ini kerana melibatkan mereka di dalam hal penjagaan anak-anak, walaupun Mak dan Ayah menawarkan diri. Memang tidak terbalas jasa Mak dan Ayah.
Buat keluarga tercinta, terima kasih atas sokongan kalian yang tidak berbelah bahagi apabila diperlukan. Pasti, jasa dan pengorbanan kalian yang mungkin kecil pada pandangan mata kalian sendiri, besar maknanya di mata Meen.
Keesokan harinya pula, Meen dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga dengan sebuah syarikat pembinaan. Soalan biasa yang akan ditanya apabila anda seorang wanita dan telahpun mempunyai keluarga dan anak, "Siapa yang akan menjaga anak-anak apabila anda kembali bekerja?", atau juga "Bolehkah anda datang bekerja pukul 2 atau 3 pagi sekiranya perlu?".
Meen seorang wanita dan Meen juga percaya bahawa ramai wanita di luar sana yang telahpun mempunyai anak atau masih mencuba untuk mempunyai anak dan masih akan tetap bekerja walaupun telah mempunyai anak.
Bukan semua di antara kita yang bertuah dianugerahi dengan sebuah perniagaan yang perlu diuruskan sendiri oleh kita, dan bertuah kerana tiada kekangan masa kerana kebanyakan masa dari usahawan wanita adalah lebih fleksibel dan lebih benyak bergantung kepada keputusan kita sendiri.
Wanita dan zuriat, adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Zuriat itu pula hanya akan diperolehi dan hanya boleh dikandungkan oleh seorang insan bernama wanita.
Ya, hanya wanita sahaja yang boleh mengendong kandungan selama 9 bulan dan hanya seorang wanita jualah yang boleh melahirkan seorang zuriat walau bagai mana cara sekalipun kelahiran zuriat itu nanti.
Meen menyeru sahabat-sahabat wanita di luar sana, sekiranya kerja anda memberikan tekanan kepada anda, di dalam soal atau isu seorang yang bernama "ZURIAT" atau "ANAK", percayalah bahawa anda tidak keseorangan. Teruslah berjuang demi anak tercinta dan demi keluarga tercinta.
Buat para suami atau para sahabat lelaki yang budiman, sokonglah rakan sekerja wanita anda, atau juga sokonglah wanita yang anda panggil isteri anda, di dalam urusan pekerjaan.
Buat insan yang paling memahami Meen, "MrPresident" terima kasih kerana memberikan ruang dan peluang kepada Meen di dalam membuat keputusan di dalam soal pekerjaan.
Besar juga cita-cita dan impian Meen untuk mempunyai pekerjaan yang membolehkan Meen menguruskan anak-anak dengan kudrat Meen sendiri di samping dapat juga membantu suami melonjakkan pendapatan ekonomi keluarga.
Jom Meen kongsikan bersama tips supaya kita akan lebih bertenaga sepanjang hari. Cubalah amalkan Tasbih Fatimah.
Semoga kita semua dilimpahi dengan rahmat dari Ilahi yang tidak terhitung rahmatnya. dilimpahi rezeki yang melimpah ruah supaya dapatlah pula kita membantu saudara kita yang dalam kesusahan.
Buat sahabat wanita semua, teruskan berusaha walau rintangannya amat serasa seakan sukar untuk dilalui.
Manisnya senyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan