Tarikh 29-Mac-2016.
Kesihatan tubuh badan yang diimpikan adalah apabila kita dapat bergerak cergas dan bebas dalam melakukan aktiviti harian dengan sendirinya tanpa bantuan orang lain dan dalam ertikata kita dapat berdikari dan kurang mengharapkan bantuan orang lain.
Bagaimana agaknya supaya hasrat ini tercapai? Sudah tentulah bukan mengambil masa yang singkat dan pantas.
Usaha yang memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi yang hanya akan terhasil apabila kita telahpun menginjak ke usia emas barangkali. Bukan sikit pengorbanan dan usaha yang perlu dijaga dengan rapi untuk mencapainya.
Tapi, alahai manisnya kiranya pabila di usia emas nanti kita mampu kiranya hendak ke Mekah menunaikan ibadah dengan sendirinya tanpa bantuan anak-anak. Berjumpa dan mengadu memohon keampunan dengan Yang Maha Esa dengan hanya antara kita dan Yang Esa.
Ini di antara yang boleh kita lakukan sebelum terlambat.
1. Amalkan Pemakanan Sihat
Makanlah makanan yang seimbang dan sihat. Jadikan amalan memakan makanan seimbang dan sihat sebagai cara hidup sehari-hari, bukan hanya diamalkan apabila kita ingin mencapai berat badan ideal sahaja. Minum sehingga 8 gelas sehari semalam supaya badan dapat memproses nutrien yang diterima oleh badan dengan baik. Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam hidangan seharian. Kurangkan gula dalam minuman. Jadikan amalan meminum susu setiap hari, lebih-lebih lagi susu segar rendah lemak yang mudah didapati sekarang.
2. Senaman Rutin
Senaman rutin dapat membantu mengekalkan kecergasan tubuh badan. Cari ruang dan kesempatan yang ada di dalam jadual seharian sekiranya aktiviti terlalu sibuk setiap hari. Banyakkan berjalan kaki kerana ianya juga senaman yang paling mudah tanpa melibatkan wang ringgit. Berjoging dan berenang dapat meningkatkan kecergasan, keceriaan dan keyakinan diri selain menguatkan otot jantung dan paru-paru. Namun, jangan lupa untuk memastikan senaman rutin yang dilakukan bersesuain dengan tahap kecergasan diri dan tubuh badan.
3. Rehat dan Tidur Yang Cukup
Dapatkan rehat dan tidur yang mencukupi setiap hari supaya badan akan kembali beersedia menghadapi hari-hari yang berikutnya.
4. Jaga Hati Jaga Minda
Bagaimana untuk menjaga hati dan minda? Dengan memperbanyakkan mengingati Yang Esa. Kita semua akan merasai turun dan naiknya serta pasang surutnya hidup dan permasalahan yang hanya kita sahaja yang mungkin akan memahaminya. Jadikan amalan solat 5 waktu sehari semalam yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan setiap hari sebagai terapi diri. Puasa dan sedekah pula dijadikan amalan untuk minda lebih positif dan kuat.
5. Lakukan Pemeriksaan Kesihatan Berkala
Lakukan pemeriksaan berkala mengikut tahap umur dan kesihatan tubuh badan. Semakin menginjak ke usia emas, kerapkanlah melakukan pemeriksaan kesihatan berkala kerana risiko mendapat sebarang penyakit lebih tinggi.
Manisnya senyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan