Jumaat, 12 Februari 2016

6 Tips Jom Cari Semula Semangat Yang Hilang

Salam.

12-Februari-2016.

Menjadi lumrah kehidupan manusia, ada kalanya kita dilanda kebimbangan dan kerisauan yang akhirnya boleh menyebabkan kita menjadi tertekan dan diselubungi kesedihan.

Tahun baru kebiasaannya memberikan kita sinar harapan kerana ianya seperti permulaan muka surat baru di dalam jurnal harian kita sehari-hari.

Namun bagi tahun 2016, Meen percaya bukan semuanya yang kita harapkan cerah hingga ke petang, akan kekal cerah atau barangkali perkhabaran gembira yang dinantikan oleh kita, tidak juga tiba dan membuatkan semangat kita hilang dan hampir tenggelam.

Permulaan tahun ini, nampaknya tidaklah secerah tahun-tahun sebelumnya. Mungkin juga boleh dikatakan tahun yang menuntut untuk lebih banyak kesabaran dalam meniti hari-hari mendatang.

Namun sebagaiman turunnya sesuatu, pasti akan ada naiknya juga. Itukan lumrah dan peraturan alam. Semuanya sudah dicipta dan direncanakan dengan begitu indah oleh maha pencipta.

Ada perkara yang tidak dapat dikawal oleh kita yang kerdil ini, di luar jangkauan kita untuk dikawal, apa yang penting, berusahalah dan teruskan berusaha. Jangan cepat menyerah dan putus asa.

Jom kita cari semula semangat yang hilang itu.



Tips #1   Ingat Insan Tersayang - Apa Yang Kita Usahakan Ini Untuk Mereka Bukan?
Buat sahabat semua, anda pasti akan ada insan tersayang di dalam hidup anda. Insan yang teristimewa dan sentiasa ada dalam ingatan kita. Apabila diri kita ditimpa musibah atau bencana, sentiasalah ingatkan insan-insan yang tersayang ini, sebagai penyebab untuk kita terus bangkit berdiri dan berusaha lagi. Tak mengapa sahabat, biarlah usaha kita nampak seperti kecil bak kuman, namun ada kemajuannya. Pasti nanti insan-insan tersayang kita tersenyum bangga melihat kita bangkit semula.

Tips #2   Cubalah Aktiviti Ketuhanan 
Mungkin ada yang tidak pernah ke masjid untuk berlumba-lumba solat berjemaah. Jadi, apa kata kita ke masjid untuk mencari pahala berjemaah. Bukan sahaja pahala solat berjemaah yang bakal kita tambah dalam catitan amalan kita, tapi percayalah, di situ juga nanti akan kita jumpa motivasi dan penyuntik semangat kita. Sahabat yang dikasihi, sekiranya kita tidak pernah ke masjid mengerjakan solat berjemaah, cubalah beristiqamah sekarang kerana menjejakkan kaki ke masjid itu sahaja sudah cukup memberikan kita kekuatan untuk bangkit semula. Tak percaya? Cubalah.

Tips #3   Bercampurlah Dengan Mereka Yang Positif 
Bila bicara soal positif, kita pasti tahu siapa yang positif berdasarkan pandangan kita sendiri. Bercampurlah dengan mereka yang sentiasa suka membicarakan hal-hal yang baik-baik. Mereka yang positif bukanlah mereka yang telah pun atau sedang berjaya terutamanya, tapi yang lebih penting adalah mereka yang masih di dalam pendakian untuk mencapai kejayaan, yang tak pernah menyerah kalah apatah lagi berputus asa. Pupuklah jiwa supaya sentiasa berfikiran positif walau apa jua rintangan dan masalah yang kita hadapi.

Tips #4   Bersedekah atau Menghulurkan Bantuan 
Bila kita dalam kesedihan, cubalah bersedekah dengan seikhlas hati. Bersedekah itu bukan sahaja dinilai menerusi wang ringgit, tapi juga apa yang dapat kita sumbangkan kepada orang atau komuniti lain. Bantuan menggunakan tulang empat kerat juga sumbangan yang amat-amat ikhlas pada Meen kerana ianya lebih kepada bentuk "tunai" tanpa ada apa-apa yang tersirat.

Tips #5   Ingat Kembali Kenapa Kita Bermula
Walau apa sahaja yang kita lalui, pasti ada permulaannya. Bagi setiap sesuatu yang kita lalui, sudah tentulah kita sudahpun terlebih dahulu mengambil kira sebab bermulanya sesuatu tindakan yang kita ambil. Contohnya sekiranya kita mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan, sudah tentulah kita sudah memikirkan dahulu atas sebab apa kita mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan. Jadi, teruskanlah usaha dan tingkatkan kemahiran kita.

Tips #6   Cuba Kenangkan Kembali Pencapaian Hidup Kita  
Setiap manusia, berbeza laluannya. Ada yang menempuhi hidup ini dengan senang sekali. Namun ada juga yang terpaksa berusaha kuat sedari awal dalam menempuh liku-liku hidupnya. Apa yang penting, kita sendirilah yang lebih mengenali dan memahami apa jua yang kita lalui. Jadi percayalah, dalam kehidupan ini, sudah pasti ada pencapaian kita sendiri yang boleh membuatkan kita tersenyum sendiri mengenangkannya. Apa yang penting, dalam setiap kepayahan yang kita lalui itu sudah pasti akan datang pula kesenangan.

Apa yang penting sahabat semua, teruskan berusaha dan jangan mudah untuk berputus asa. Elakkan dari membandingkan diri kita dengan orang lain kerana ini hanya akan membuatkan keadaan menjadi semakin keruh.

Jangan lupa untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada yang maha pencipta. Bersyukur itu bukan hanya dinyatakan dengan ucapandan kata-kata sahaja. Sujud dan mengabdikanlah diri kepadaNa. Bermohonlah kepadaNya, nescaya akan ditunaikan hajat kita itu nanti.

Buat sahabat semua, jangan cepat mengalah dan putus asa.

Bangun dan teruskanlah berusaha.

Jom kita sama-sama usaha.

Great Things Never Came From 
Comfort Zones


Manisnya senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan