Tarikh 28-September-2016.
Cepatnya masa berlalu.
Meninggalkan semua tanpa mengenal siapa.
Meen masih lagi mencongak-congak waktu yang terlalu berharga yang berlalu pergi meninggalkan kita semua. Terasa amat bernilainya masa yang diberikan sekadar pinjaman oleh Ilahi. Terasa terlalu banyak lagi yang belum pun dapat Meen penuhi, terutama permintaan daripada anak-anak dan juga keperluan berbakti kepada Mak dan Ayah.
Hmmm... Terasa cepat benar berlalunya pergi hari demi hari dalam hidup Meen. Sedang masa pantas berlalu, begitulah usia Mak dan Ayah yang semakin lama semakin dimamah waktu. Mana mungkin segala budi mereka dapat dibalaskan oleh Meen? Kerdil sungguh terasa diri.
Bila mengenangkan kembali zaman kanak-kanak Meen, serasa seakan baru semalam berlalu.
Kehidupan yang tidaklah semewah manapun, namun Alhamdulillah cukuplah juga makan dan minum kami 7 beradik. Pengorbanan Mak yang sanggup berhenti kerja demi menjaga kami semua amat besar pada Meen. Makan minum kami dijaga rapi oleh Mak. Sehinggakan kami bersalin dan berpantang juga, Mak lah di antara orang yang paling sibuk menguruskan kami dan mengambil berat perihal anak-anaknya. Terima kasih Mak.
Pagi tadi, apabila dikhabarkan berita tentang Angah yang telah pun dimasukkan ke wad kerana telah mengalami kontraksi, Mak jugalah yang menjadi peneman setia. Seperti mana layanan Mak terhadap anak-anaknya, seperti itu jugalah nanti Meen mengharapkan punya waktu dan ruang untuk melayani anak-anak Meen. Seperti mana sabarnya Mak melayani kerenak kami adik-beradik, seperti itu jugalah Meen mengharapakan agar dikurniakan kesabaran dalam mendepani kerenah anak-anak. Seperti mana lembutnya tutur bahasa Mak dalam mendidik kami, seperti itulah juga Meen ingin tuturkan kepada anak-anak nanti.
Mak! Mak sumber inspirasi.
Terima kasih MAK.
Manisnya senyum MAK!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan