Ahad, 20 Disember 2015

Cerita Tentang Kasut

Salam.

Tarikh 20-Disember-201.

Tinggal kurang lebih 10 hari sahaja lagi sebelum melangkah ke tahun 2016. Bererti, semakin bertambahlah usia dan semakin berkuranglah juga tangga kesihatan kita. Bermaksud, semakin perlulah tahap kesihatan kita dikekalkan atau mungkin ditingkatkan. Zaman berubah, penyakit juga berubah. Ada pula penyakit-penyakit baru yang dikenalpasti oleh pakar-pakar perubatan. Bagaimana mungkin dihadapi hari-hari tua andai diri sendiri tidak termampu ditanggung dek badan? Sebolehnya juga, Meen mohon agar dipanjangkan usia agar dapatlah ditambahkan lagi ibadat menghambakan diri kepada yang maha Esa. Mohon juga dikurniakan kesihatan yang baik sehingga ke tua agar tidak membebankan sesiapa yang berada di samping Meen nanti. Namun, Allah jugalah sebaik-baik perancang dan hanya kepadanya lah dapat kita pohonkan segala hajat di hati.

Bercerita mengenai kesihatan. Sedari dulu, Meen tidaklah pula dikatakan seorang yang gemar atau handal bersukan. Sekadar mewakili sekolah dalam acara bola jaring peringkat sekolah rendah sahaja. Itupun sekadar pemain simpanan.

Namun, satu yang Meen paling gemari adalah berjalan. Bukan ke sana-sini berjalan-jalan, tetapi berjalan kaki. Bukan pula Meen seorang yang senang untuk berjalan-jalan melancong ke sana-sini. Maklumlah semua itu, butuh uang!

Disebabkan gemar berjalan, Meen paling gemar pula menyediakan perkhidmatan terbaik buat sepasang kaki Meen ini. Apa dia perkhidmatan terbaik?

Bukanlah perkhidmatan mengurut kaki. Bukan pula perkhidmatan merias kaki. Tapi, Meen memang tidak lokek langsung membelanjakan wang gaji Meen untuk membeli sepasang kasut yang boleh memberikan keselesaan kepada sepasang kaki Meen.

Tatkala mungkin, wanita-wanita jelita (jelita itu sangat subjektif ya-semua wanita itu cantik jelita) di luar sana sanggup membelanjakan wang mereka terhadap beg tangan atau tas tangan, Meen pula sanggup menghabiskan wang untuk memiliki sepasang kasut idaman Meen. Mungkin juga disebabkan pengaruh persekitaran kerja yang membuatkan Meen amat tidak teragak-agak untuk membelanjakan wang gaji terhadap kasut idaman.

Kerana minat yang menebal untuk berjalan, Meen biasanya akan sentiasa mencari peluang untuk berjalan samada ke tempat kerja, keluar makan tengahari, pulang bekerja atau ke mana sahaja. Berjalan bukan sahaja membantu Meen berpeluh, ia juga meningkatkan tahap kesihatan supaya kekal aktif. Itu satu cara untuk mengekalkan tahap kesihatan Meen.

My Best Shoes

Kau Aku Kasut

Love at First Sight

Kasut Itu Juga

Kesayanganku

Kasut kesayangan Meen ini, memang menjadi teman setia Meen ke mana sahaja. Dia jugalah peneman Meen tatkala berulang-alik dari KL ke Seremban atas urusan kerja. Kasut ini jugalah yang menemani Meen ke mana-mana sahaja dan menjadi sahabat setia Meen.

Diharapkan semoga Tahun 2016 ini, memberikan seribu makna lagi buat kita semua. Kita sama-sama melangkah ke tahun 2016 ini, dengan penuh rasa syukur dan moga dapat kita tambahkan nilai ketaatan dalam diri kita.

Meen mendoakan yang terbaik buat kita semua.

Melangkahlah dengan penuh yakin bahawa semuanya akan baik-baik sahaja. Asalkan kita punya hati yang baik.

Sudah bersediakah melangkah ke tahun 2016?

Moga hari-hari Meen dan juga hari-hari anda semua bertambah ceria.

Kasut! Oh Kasut! Kaulah teman setia.

Bilalah agaknya akan bertambah lagi koleksi kasut Meen?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan