Jumaat, 4 Disember 2015

Nasi Goreng Udang Sempoi Tapi Sedap

Salam.

Hari ini Meen rasakan terlalu cepat benar masa berlalu. Seperti selalu, memang begitulah yang Meen rasakan setiap kali datangnya hari Jumaat. seperti hari Jumaat itu sendiri bukan datang dengan 24 jam sehari seperti selalu. Betul ke begitu?

Jadi, untuk makan tengahari, Meen ambil keputusan untuk mengambil jalan pintas dalam menyediakan menu makan tengahari. Tambahan pula, hari ini, kerja untuk "laundry" bertambah, dengan adanya kehadiran cadar yang sekian lama menunggu giliran untuk dicuci.

Puas mencongak-congak, akhirnya Meen ambil keputusan untuk hanya menyediakan Nasi Goreng Udang Sempoi.

Bunyinya macam benar-benar sempoi ya. Memang betul. Memang amat ringkas resipi kali ini. Itu yang terpantas dan paling menjimatkan masa buat Meen hari ini. Mujur juga ada Afrina membantu Meen pada hari ini.

Nasi Goreng Udang Sempoi

 Nasi Goreng Udang Sempoi I

Nasi Goreng Udang Sempoi II
Bahan-Bahannya:

  • Nasi sejuk (dalam 2 mangkuk makan)
  • 8 ekor udang (dibuang belakangnya dan dibersihkan)
  • 1 sudu besar lada putih (ditumbuk lumat)
  • 3 ulas bawang putih (ditumbuk lumat)
  • 1 inci lobak merah (dipotong dadu)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar kicap manis
  • Garam secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng
Bahan-Bahan Utama

Cara Penyediaanya:
  1. Gemburkan nasi dan perasakan dengan sedikit garam.
  2. Perasakan udang dengan garam. Goreng dengan api sederhana. Ketepikan dan biarkan ia sejuk. 
  3. Tumiskan lada putih dan bawang putih yang telah ditumbuk lumat tadi. 
  4. Masukkan pula lobak merah.
  5. Setelah layu, masukkan sos tiram, kicap pekat dan kicap manis ke dalam kuali. 
  6. Setelah rata, masukkan pula nasi yang digembur tadi. 
  7. Kacau rata.
  8. Setelah siap dikacau rata, bolehlah dihidangkan bersama dengan udang yang telah digoreng tadi. 
  9. Hiaskan juga bersama dengan telur gulung. 
  10. Selamat mencuba.
"Goggles Please"

Cuti-cuti sekolah begini, elok juga Afrina diajak sekali untuk membantu tatkala adiknya lena diulit mimpi. Mujur juga Afrina memang ringan tulang membantu Meen di dapur. Terima kasih Afrina. Semoga nanti Afrina mahir di dapur. 

Manisnya senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan